Buka kantin sekolah pada Ramadan, cetus polemik tak perlu

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya kantin-kantin sekolah dibuka ketika bulan Ramadan mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Haji Ahmad Yahaya berkata, perkara ini telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan kepada rakyat di negara ini untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuklah dalam kalangan pelajar sekolah yang masih berlatih untuk berpuasa.  

- Advertisement -

“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khususnya kepada pelajar yang beragama Islam. 

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Beliau turut berkata, perkara ini boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka ketika para pelajar berada dalam bulan Ramadan. 

Tambahnya, ia bukan bermaksud cuba menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk pendidikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan. 

“Mereka boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. 

“Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan,” jelasnya. 

Ironinya, DUPP turut melihat Menteri terbabit gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil. 

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!