Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori mula 4 Julai 2023

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846] merupakan suatu akta untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dan telah mula berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori ini tidak melibatkan pemansuhan hukuman mati sepenuhnya (total abolition).

Sebaliknya, kata beliau bagi kesalahan-kesalahan yang menyebabkan kematian, mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati, tertakluk kepada fakta dan keadaan setiap kes serta prinsip undang-undang yang mantap.

“Sehubungan itu, proses jatuh hukum ini merupakan suatu proses kehakiman (judicial process) yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Badan Kehakiman.

“Walau bagaimanapun, seksyen 183A Kanun Tatacara Jenayah telah memperuntukkan bahawa keluarga mangsa boleh memberikan Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa (Victim Impact Statement) berkenaan kesan kesalahan tersebut terhadap mangsa atau keluarga, sebelum apa-apa hukuman dijatuhkan oleh mahkamah,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Abd Ghani Ahmad [PN-Jerlun] di Dewan Rakyat, semalam.

Menerusi soalannya, Abd Ghani meminta Perdana Menteri menyatakan susulan semakan hukuman mati mandatori yang telah dikemukakan kepada mahkamah, apakah kerajaan berhasrat untuk memberikan ruang kepada keluarga mangsa untuk turut terlibat dalam proses undang-undang memandangkan terdapat penjenayah yang terlibat dengan perlakuan jenayah yang kejam dan zalim turut dilepaskan. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -