Delegasi Kedah ke China tarik minat pelaburan RM50 bilion

Haim Hilman Abdullah
- Advertisement -

ALOR SETAR: Delegasi kerajaan negeri Kedah ke China dari 8 hingga 20 Januari lalu, telah berjaya menimbulkan minat syarikat-syarikat perniagaan untuk melabur di Kedah dengan nilai keseluruhan mencecah RM50 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa  Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah (PAS – Jitra) berkata, misi pelaburan dan lawatan kerja tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memanfaat kesan daripada Perang Perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. 

- Advertisement -

“Kedah telah menggariskan beberapa strategi dan inisiatif dengan memberi tumpuan untuk menarik sebanyak mungkin pelaburan dalam sektor semiconductor dan Green Energy khususnya dari China, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.

“Secara khususnya, pada Januari 2024, kerajaan negeri telah menghantar delegasi pelaburan di bawah Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan untuk menerokai peluang pelaburan di China.

“Delegasi pelaburan Kedah membawa misi, menarik masuk RM25 bilion pelaburan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dalam bidang Green Energy Technology,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang ditanya oleh Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke 15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Dalam sesi soalan lisan, beliau memohon penjelasan berkenaan hasil daripada misi pelaburan dan lawatan kerja ke China pada 9 hingga 20 Januari lalu yang menjelajah empat wilayah,  Jiangsu, Zhejiang, Guangdong dan Yunan. 

Haim dalam jawapannya berkata, delegasi pelaburan Kedah telah bertemu dan berunding dengan lapan buah syarikat berpotensi dan mempromosi beberapa zon industri di negeri itu, antaranya Kulim High Tech Park (KHTP), Kulim Industrial Corridor, Kedah Science and Technology Park, Delapan SBEZ (Special Border Economic Zone) di Bukit Kayu Hitam dan lain-lain.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri perlu terus melipat gandakan usaha untuk meningkatkan lagi promosi dan tahap kecekapan, kepantasan dan kesepaduan kerja sesama agensi, baik di peringkat negeri mahupun pusat  bagi memastikan Kedah menjadi destinasi pelaburan asing dan tempatan terbaik di Malaysia serta di Asia Tenggara,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri juga mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) atas sokongan insentif pelaburan yang disediakan.

“Sikap profesional Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA mempromosi kawasan perindustrian yang ada di Kedah melalui pejabat-pejabat MIDA yang ada di seluruh dunia adalah sangat dihargai. 

“Dengan kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kepada Kedah Investment Team sehingga membolehkan 

gerak kerja pelaburan negeri Kedah berjalan lancar dan teratur,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -