Terengganu rakam takziah buat keluarga pesilat Sukma

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu merakamkan rasa dukacita dan takziah buat ahli keluarga pesilat Sukan Malaysia (Sukma) negeri, almarhum Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang telah disahkan meninggal dunia pagi tadi.

- Advertisement -

Almarhum meninggal dunia akibat kemalangan semasa perlawanan dalam pertandingan Kejohanan PraSukma di Negeri Sembilan, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, almarhum merupakan atlet fasa akhir Sukma Terengganu dan akan bertanding dalam kategori Putra I (85-90 kg) dan merupakan atlet sasaran pingat.

“Laporan kemalangan ini telah disampaikan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu kepada saya petang kelmarin. Laporan kematian pula dimaklumkan pada pagi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Buat masa ini, ujarnya secara terperinci kronologi kes belum diterima pihak MSNT dan MSNT akan memperhalusi selepas ini secara menyeluruh.

Menurutnya, dalam rekod Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), itu adalah kes pertama yang berlaku dalam aktiviti sukan silat dan amat mengejutkan semua keluarga sukan negeri.

“Untuk urusan membawa pulang jenazah dari Negeri Sembilan, pengurusan jenazah dan kebajikan keluarga akan diuruskan oleh pihak MSNT,” ujarnya yang juga ADUN Tepoh.

Media melaporkan, almarhum rebah selepas terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. – HARAKAHDAILY 3/3/2024

- Advertisement -