Roboh rumah: Penduduk wajar dapat pampasan, keadilan

Zolazrai Zolkapli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peguam Zolazrai Zolkapli meminta agar kerajaan atau pihak bertanggungjawab berfikir dengan lebih panjang untuk memberikan pampasan dan keadilan kepada penduduk yang terjejas.

- Advertisement -

Beliau percaya bahawa isu rumah panjang dirobohkan yang diperintahkan mahkamah akan ada jalan penyelesaian, harapan dan peluang yang baik kepada penduduk.

Beliau difahamkan oleh penduduk di Kampung Bunga Raya Subang, Shah Alam serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pembela Tanah Air (PETA) bahawa isu itu telah berlarutan sejak 1992 hingga 2023.

“Namun 2023 di mana penduduk baru dapat tarikh yang diperintahkan mahkamah, (kes) telah selesai dibicarakan, dan kita lihat fakta-fakta yang telah saya faham bahawa status pemilik tanah ini pada asalnya tidak ditentukan secara terperinci atau sebenar-benarnya.

“Okay kita ambil bahasa mudah…kita dah beli rumah, dan kita disuruh ambil pinjaman perumahan, kita telah selesai bayar pinjaman dan dalam perjanjian juga saya telah diberitahu dan saya telah meneliti, rumah itu siap dalam masa 18 bulan.

“Daripada 1992 sehingga tarikh sekarang ini.. tiada rumah,” katanya dalam sidang media di pejabat PPIM, di sini, semalam.

Namun demikian, ujarnya penduduk telah didatangkan dengan satu modus operandi baru oleh syarikat baharu walaupun dikatakan pemilik yang sama.

“Penduduk disuruh untuk pindah ke rumah panjang sementara dan di rumah panjang itu juga akan diambil tanah itu dan dibuat rumah baru, dan apa penyelesaian mereka (modus operandi) adalah diberikan satu perjanjian untuk hutang balik dengan bank dan beli lagi rumah,” jelasnya.

Zolazrai berkata, penduduk yang masih tinggal di kampung itu meliputi empat keluarga Melayu dan selebihnya berbangsa India bukanlah dalam kalangan orang yang senang.

“Kita lihat ini adalah Kampung Melayu Subang yang berdekatan dengan Subang. Orang-orang di situ bukan orang yang berpendapatan tinggi malah penduduk orang biasa sahaja.

“Jika kita berikan satu lagi modus operandi seperti ini kepada mereka, saya katakan majoriti ini tidak mampu untuk berhutang dengan bank dan tidak mampu memiliki rumah,” ujarnya lagi.

Menurutnya, apabila penduduk mendapat perintah mahkamah daripada syarikat pemaju untuk melandaikan tanah atau memasuki tanah penduduk kampung itu, di manakah mereka akan berteduh.

Walau bagaimanapun, beliau telah berbincang dan memberikan sedikit pandangan bersama NGO untuk menyelesaikan perkara terbabit dengan mengikut beberapa peringkat.

“Pertama, kita akan merujuk kepada kerajaan negeri dan bertanya kepada mereka (kerana) kita perlukan pihak berwajib ini bertanggungjawab dan merungkaikan isu ini secara jelas kepada rakyat, bagaimanakah tanah itu diluluskan.

“Kedua, sewaktu di mahkamah, kenapa isu-isu penduduk dah beli tanah ini tidak dibawa ke hadapan ataupun tidak dikemukakan, dan jika ikut undang-undang tarikh 1992 sehingga ke 2023 akan ada isu tindakan ini sudah lama tidak diambil.

“Namun, saya difahamkan juga segala perkara ini baru sahaja dirungkaikan berada dalam pengetahuan penduduk pada perintah (roboh rumah) ingin dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -