Skim Perubatan Madani patut utama kawasan miskin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek perintis Skim Perubatan Madani (SPM) sepatutnya di tempat terdapat ramai orang miskin dan bukannya diutamakan dalam negeri Selangor yang merupakan sebuah negeri berstatus maju di negara ini.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mempersoalkan perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor sudah memberikan bantuan seumpama iaitu Skim Peduli Sihat bertujuan meringankan beban kos sara hidup tinggi kalangan B40 terutamanya bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan asas. 

Beliau berkata, selain itu SPM yang melibatkan klinik swasta yang berdaftar melalui anak syarikat kerajaan iaitu ProtecHealth Corporation (PH Corp) Sdn Bhd turut membantu mengurangkan kesesakan pesakit dihadapi di klinik kesihatan.

“Biarpun skim ini dibentuk bagi membantu golongan ini agar mereka menerima rawatan yang lebih baik dan segera serta tujuannya bagi mengelakkan berlaku komplikasi yang akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital, itu antara tunjang utama.

“Yang menjadi persoalan saya ialah daripada 10, empat di Selangor walaupun sudah ada Skim Peduli Sihat dan Selangor negeri kaya, dia boleh tambah sahaja bilangan peduli sihat, tiba-tiba di tempat saya tiada, orang miskin ramai dan klinik pun kurang,” katanya.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapannya menyambut baik dan akan membuat pertimbangan persoalan yang diutarakan oleh mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu.

Beliau berkata, empat daripada 10 daerah yang terletak di Selangor merupakan keputusan mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa sebelum Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dilantik semula oleh kerajaan pada Disember lalu.

Malah dalam aspek itu, beliau mengumumkan akan mengenepikan sentimen politik dalam melaksanakan skim tersebut bagi memboleh semua rakyat tanpa mengira ideologi politik dapat menikmati manfaat yang ditawarkan oleh kerajaan hari ini.

“Perkara ini saya pasti ada ruang untuk saya pertimbangkan kerana empat dari 10 daerah itu melanjut apa yang telah dibuat dahulu dan saya sebagai menterinya hari ini wajar mengambil perhitungan untuk membuat penilaian semula dalam hal ini.

“Cadangan Kuala Nerus ini kita dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan kita telah membuat janji dalam hal kesihatan kita tidak akan politikan dan saya sangat setuju untuk saya pertimbangkan kembali dan melihatnya secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -