KOTA BHARU: Selain murah dengan senyuman di samping menjaga pemakanan dengan mengambil ulam-ulaman, dipercayai antara sebab purata jangka hayat wanita di Kelantan lebih panjang.
Jangka hayat wanita Kelantan berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu 74.8 tahun berbanding lelaki 69.5 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, populasi rakyat Kelantan 1.86 juta yang terdiri daripada 50.2 peratus lelaki dan 49.8 peratus wanita.
Menurut beliau, dari segi julat umur rakyat Kelantan mereka yang berusia baharu lahir hingga 14 tahun ialah seramai 29.5 peratus, 15 hingga 65 tahun (63.8 peratus) manakala 65 tahun ke atas (6.7 peratus).
“Dari segi jangka hayat penduduk Kelantan, wanita lebih panjang umur kerana mereka sentiasa ceria, suka senyum dan kuat bekerja.
“Selain itu sejak turun-temurun golongan wanita sangat menjaga pemakanan dengan melebihkan makan ulam-ulaman.
“Ketika berpantang pula, mereka patuh pada amalan berpantang selepas bersalin,” katanya selepas menyampaikan Watikah Lantikan Majlis Perundingan Wanita Kelantan, di sini petang semalam.
Pada majlis tersebut seramai 34 ahli Majlis Perundingan Wanita Negeri dan 438 ahli Majlis Perundingan Wanita Parlimen menerima watikah untuk tempoh 2023-2025.
Menurutnya lagi, wanita Kelantan yang berusia masih sihat dan produktif dalam politik, NGO, aktiviti kebajikan dan sebagainya.
“Kelantan juga mempunyai dasar warga emas sebagai pelan strategi menerusi program khusus yang diadakan,” sambungnya lagi.
Kata beliau, di Kelantan terdapat rumah pelindungan orang tua milik persendirian yang menempatkan warga emas berusia. – HARAKAHDAILY 29/2/2024