Pasar Payang 1 akan jadi ‘central market’ pengunjung

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kompleks Pasar Kedai Payang 1, yang dirasmikan hari ini akan menjadi tempat focal point atau central market kepada pengunjung seluruh negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pasar berkenaan akan diisikan dengan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan pelancongan termasuklah tempat barang-barang jualan batik, songket, kraftangan, seni dan sebagainya.

“Kita juga perlu memperkenalkan inisiatif baru seperti pameran seni dan budaya, pertunjukan tradisional, dan aktiviti pelancongan yang menarik dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang ini.

“Marilah sama-sama kita terus menjaga dan memartabatkan pasar ini sebagai salah satu ikon budaya dan warisan negeri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Pasar Payang di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif. (Foto atas)

Menurut Ahmad Samsuri, pembangunan Kompleks Pasar Payang yang bernilai RM70 juta itu telah dilakukan beberapa pembaharuan untuk memberikan wajah baru.

“Pertama peningkatan infrastruktur, pasar ini dinaik taraf dengan kemudahan moden seperti sistem elektrik, air bersih, dan sanitasi yang lebih baik.

“Kedua reka bentuk yang menarik, Kompleks Pasar Payang Baharu direka dengan elemen seni dan budaya yang memperkukuhkan identiti Terengganu. Pelancong akan dapat menikmati suasana yang unik dan memori yang tidak akan dilupakan.

“Ketiga peluang perniagaan dengan penyusunan baru, peniaga-peniaga tempatan akan mendapat peluang untuk memperluaskan perniagaan mereka dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pasar Payang kaya dengan sejarah dan keunikan budayanya telah menjadi mercu tanda yang penting bagi negeri ini.

“Pasar Payang ini berkait rapat dengan industri pelancongan, saya menggesa agar kita semua bekerjasama untuk memastikan kebersihan dan keindahan pasar ini sentiasa terjaga.

“Besarlah harapan saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh warga Terengganu agar Pasar Payang dapat dijadikan role model sebagai pasar awam yang paling bersih di negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -