Anak aset akhirat, jangan nilai dunia semata-mata

- Advertisement -

JASIN: Anak-anak harus dilihat sebagai aset akhirat buat ibu bapa dan bukan hanya dari sudut material, kata Yang Dipertua PAS Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

- Advertisement -

Menurut beliau, sekiranya anak itu dididik dengan baik, maka segala amal kebajikan yang dilakukan mereka akan memberi manfaat kepada ibu bapa di alam akhirat.

“Selepas kita mati segala bentuk amalan ahli sunnah wal jamaah, apa sahaja amalan anak-anak kita, ia secara automatik sampai kepada kita (mak dan ayah).

Namun, kata beliau lagi, terdapat sesetengah ibu bapa melihat anak-anak dari sudut untung dunia semata-mata sekiranya berjaya dalam kerjaya dan memegang jawatan besar dan kaya.

“Ia (anak-anak) sebenarnya aset selepas mati. Sebab itu saya nak sebut bahawa selagi kita boleh bagi didikan yang baik, kita kena bagi. Walaupun anak itu nakal sikit-sikit, orang tua-tua kata jangan kita keluar perkataan yang bukan-bukan,” katanya semasa menutup program Kem Smart Solat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam yang berlangsung di Surau Umri, Kampung Serkam, di sini, hari ini. Turut berucap ialah Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Kintan Man.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Melaka dilaksanakan di kawasan Jasin mengikut DUN dengan peserta DUN Serkam paling ramai iaitu 60 orang.

Tambahnya, tanggungjawab untuk mengajar anak-anak sebenarnya diletakkan di atas bahu ibu bapa kerana nikmat habuan pahala yang diberi Allah SWT atas amalan mereka adalah untuk ibu bapa.

Namun, katanya, ibu bapa perlu untuk memastikan pendidikan anak-anak lebih sempurna dengan menghantar mereka belajar secara formal sama ada di sekolah atau mengikuti kursus-kursus seperti Kem Smart Solat. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -