Cadangan atasi isu-isu pertembungan Syariah-Sivil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam sebagai Agama Persekutuan telah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan dokumen perundangan tertinggi dalam negara, demikian tegas Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena).

- Advertisement -

Tetapi katanya, telah timbul kegusaran dalam kalangan rakyat berkaitan kedudukan Enakmen dan Mahkamah Syariah selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid baru-baru ini.

Menurutnya, pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang digerakkan oleh tokoh perundangan Islam, Almarhum Prof Dr Ahmad Ibrahim adalah bagi membuka denai awal mengangkat martabat Mahkamah Syariah dalam negara.

“Bagaimanapun masa yang berlalu menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Ia bukan makin meneguh kedudukan Mahkamah dan Enakmen Syariah, bahkan semakin disempitkan. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan. 

“Justeru yang pertama, saya ingin menegaskan bahawa kami bersedia menyokong langkah kerajaan untuk membentang pindaan Akta 355 sebagai langkah awal bagi memastikan martabat Mahkamah Syariah diangkat semula dalam negara. 

“Sila bentang kami sokong. Insya-Allah,” gesanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat ketika berucap dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Menyentuh berkenaan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam, beliau mengharapkan agar keanggotaan turut dibuka kepada pemegang taruh di peringkat negeri.

Khususnya ujar beliau, Majlis Agama Islam Negeri-negeri bagi memastikan suara daripada peringkat negeri yang terlibat secara langsung dalam isu ini dan usaha berkaitan tidak akan dipinggirkan. 

Kata Ahmad, selain isu cabaran Perlembagaan dan keabsahan Enakmen Syariah Negeri, umat juga berhadapan dengan kes-kes berkaitan hukum syarak yang dibicarakan di Mahkamah Sivil. 

Kes-kes sebegini juga menurut beliau, termasuk dalam spektrum pertembungan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah yang melibatkan isu-isu agak besar seperti kes pengislaman sepihak. 

“Dalam perkara ini saya suka untuk memetik pandangan Tun Abdul Hamid (Mohamad)dalam isu ini supaya membenarkan Hakim Syarie bersidang bersama dengan hakim-hakim yang lain di Mahkamah Sivil.

“Ini bagi memastikan sesuatu kes yang melibatkan kepentingan syarak dapat dibahaskan secara seiring berpandukan pandangan syarak mahupun peruntukan yang dalam peruntukan dalam akta tertentu,” cadangnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -