Biar Wan Saiful dedah siapa ejen kerajaan itu

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

LAGI siri mengejutkan muncul. Selepas siri akhir sokongan kepada PMX singgah di Tanjung Karang pada 24 Januari lepas, ia senyap seketika. 

- Advertisement -

Ketika itu Ahli Parlimen (MP) Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan sepenuh hati demi kepentingan penduduk. Katanya sokongan tanpa sebarang paksaan dan tekanan mana-mana pihak.

Betulkah begitu? Sedangkan naratif serupa juga pernah disebut lima lagi rakan-rakannya sebelum ini.

Tiada alasan lain yang tampak lebih munasabah. Setidak-tidaknya cari alasan baharu.

Kesemua yang hijrah sokongan daripada Bersatu. Zulkafperi mengikut jejak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Labuan, Gua Musang, Jeli dan Kuala Kangsar.

Mereka seperti mencabar Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Akta itu berkuat kuasa 5 Oktober 2022.

Akta terbabit antara lain menyebut mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti akan hilang kelayakan. Pindaan Fasal 4 pula menyebut seseorang MP hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya hendaklah menjadi kosong.

Sekarang apa dah jadi? Akta itu kata orang kampung seperti ke laut.

Seperti disebut MP Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, sejak berpuluh tahun lalu, wakil rakyat PAS masih mampu memberi khidmat kepada rakyat tanpa kerajaan beri sebarang peruntukan.

“Sehingga sekarang tiada Ahli Parlimen PAS yang berubah sokongan kerana alasan peruntukan,” ujarnya di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur petang ini.

Pagi tadi, MP Tasek Gelugur itu membuat pendedahan berani.

Wan Saiful Wan Jan mendakwa, beliau telah dipancing agar menyokong PMX.

“Mereka menghubungi saya melalui telefon, akhirnya saya ambil keputusan tak apalah, jom kita jumpa. Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di The Westin Bukit Bintang.

“Kemudian di JW Mariot pindah tempat, ‘Langkah Mariot’ pula. Selepas itu saya diam, sebab salah seorang yang bertemu itu rupa-rupanya kawan saya.

“Saya tak nak calarkan nama dia. Saya tak buat apa-apa. Sehinggalah pada istiadat pembukaan Parlimen, Isnin lepas. Saya didekati lagi.

“Kali ni pada Isnin petang. Saya diajak jumpa di Hotel Jalan Ampang. Apa ‘Langkah Jalan Ampang’. Kemudian pada tengah malam Isnin, saya sekali lagi dihubungi dan diminta datang ke Saujana, Subang.

“Saya ada rekod mengenai semua ni,” ujarnya ketika mendedah episod tersebut di Dewan Rakyat.

Seperti biasa MP Pakatan Harapan (PH) cuba menghalang isu tersebut terus didedah. Mereka mahu menutup rapat-rapat. Biar kedap udara tidak dengar orang di luar.

Maka ‘hulubalang’ PH dari Jelutung bangun berkali-kali. R Rayer cuba memberi gambaran MP Tasek Gelugur membuat sangkaan jahat.

Akhirnya Speaker Dewan Rakyat menggunakan kuasa menghentikan isu tersebut.

Kelihatan Johari Abdul agak emosional dan seperti hilang sabar.

Biarpun Wan Saiful dituntut memohon maaf, namun beliau berjaya mengetengahkan isu pancing memancing.

Bongkar

Semua orang sudah dengar. Itu kejayaan Wan Saiful membongkar apa yang menimpa dirinya. Itu pengalaman peribadinya.

Biarpun dicabar penyokong PH supaya mendedahkan isu tersebut kepada SPRM, namun ia tidak menghalang Wan Saiful terus berhujah. Akhirnya berjaya digeger ke pelosok bumi.

Kalau MP PH berani mereka boleh buat laporan polis terhadap kenyataan Wan Saiful. Gentlemenkah PH? MP Bukit Gelugur sudah bersedia dedah ejen yang cuba memancingnya menyokong PMX.

Kata orang, baru bertemu buku dengan ruas. Lagi pun ramai hendak kenal siapa ejen yang didakwa Wan Saiful. Kemungkinan ejen modus operandi terbabit dikenali enam MP Bersatu yang menyokong PMX.

Wan Saiful bukan calang-calang orang. Beliau ada jati diri. Tidak seperti enam bekas rakan seperjuangan. Beliau nekad mendedahkan satu-persatu operandi tersebut biar pun diganggu ketika berucap.

Ia sebenarnya tidak lagi pelik. Pada 3 November lepas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa beberapa MP PERIKATAN NASIONAL ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, tawaran itu dengan syarat menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Kami dah bincang perkara tersebut bersama Ahli Parlimen kita. Ada beberapa Ahli Parlimen kita menerima panggilan daripada beberapa pihak,” ujarnya.

Ternyata agak sukar orang ramai menepis mudah dakwaan itu. Ini kerana modus operandi hampir sama. Mungkin ejen juga orang sama.

Lebih pelik lagi ketika usia kerajaan PH-Umno berbaki sekitar 45 bulan lagi, usaha pancing memancing terus berlaku. Mengapa?

Mungkinkah PMX bimbang seperti dirasai Ahli Parlimen Pasir Gudang. Hassan Karim dilapor menyatakan Yang di-Pertuan Agong mesti mematuhi peruntukan perlembagaan.

Ketika memberitahu sebuah portal berita, kata Hassan baginda tidak boleh tak layan jika pembangkang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -