Wujud unsur takfiri, khawarij dalam khutbah di masjid?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan wujud unsur-unsur melampau yang dinyatakan sebagai perbuatan Khawarij dan takfiri tidak boleh dihukumkan secara umum apatah lagi dikatakan ia dilontar menerusi khutbah.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sehubungan itu menegur dan meminta penjelasan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang menyebut perkara itu dalam ucapan sesi Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi. 

“Sedangkan kita tahu bahawa khutbah-khutbah Jumaat ini dirangka teksnya oleh Majlis-majlis Agama di negeri-negeri,” ujarnya meminta wakil PAN tersebut membuktikan penyataannya ketika mencelah ucapan itu.

Ahmad Fadhli yang diminta memberi ulasan lanjut di luar dewan selepas sidang ditangguhkan menyifatkan isu takfiri ini hanyalah satu senjata yang sengaja dimomokkan kepada PAS. 

“Padahal jelas tiada di kalangan pemimpin PAS yang menyatakan mana-mana individu sebagai kafir kerana tidak bersama PAS. Bahkan tidak pernah sesiapa yang masuk PAS diminta mengucap syahadah kerana kononnya PAS itu Islam dan Islam itu PAS. 

“PAS hanya menjelaskan batasan iman dan kufur sahaja sebagai satu tanggungjawab dakwah. Mereka yang memalitkan isu ini bukannya tidak faham, tetapi sengaja memutarbelitkan kenyataan,” bidasnya.

Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) turut mencelah berharap keharmonian dari sudut memahami agama juga diambil kira penganut agama lain supaya tidak menafsirkan Islam tanpa pengetahuan atau mengikut pandangan tanpa merujuk kepada sumber-sumber Islam. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -