MP PN keluar dewan, bantah agenda tak ikut AUM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar daripada persidangan berikutan Yang di-Pertua tiba-tiba memasukkan agenda secara tidak mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

- Advertisement -

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai sidang media khas bersama Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut mereka, tindakan membenarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap secara tiba-tiba itu adalah luar biasa kerana sebelumnya sudah dibentang dan disokong usul Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong.

Kata Hamzah, agenda tersebut menjelaskan bahawa kerajaan ketika ini menggunakan kuasa majoriti dimiliki di Dewan Rakyat ketika ini untuk melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya.

“Kita dengar Titah Diraja mengatakan kita mesti ikut perundangan, ikut prosedur yang ada, maka tunggulah masanya untuk YAB Perdana Menteri sampai masa cakaplah. Dia nak gulung, dia nak buat dua jam, tiga jam, satu hari suntuk. 

“Kita boleh dengar. Tapi apabila melakukan sesuatu di luar peraturan mesyuarat menyebabkan kita merasakan ini adalah sesuatu penyalahgunaan kuasa yang ada,” bidas beliau.

Takiyuddin memberitahu, aturcara yang dipanggil sebagai Penerangan Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat mestilah dimasukkan di dalam agenda AUM, tetapi tidak dimasukkan agenda itu hari ini.

Beliau mempersoalkan usul sebelum itu yang dibawa wakil kerajaan sendiri iaitu Ahli Parlimen Shah Alam masih belum habis sebelum berhenti rehat dan disambung semula untuk baki beberapa minit lagi.

“Nak sambung dan selepas itu usul itu akan disokong oleh YB Batang Sadong juga daripada kerajaan, kami boleh terima, tak ada masalah. Lepas itu disambung pula oleh YB Paya Besar. Tak ada masalah. Ikut peraturan, tiba-tiba pukul 2 setengah ni dimasukkan Penerangan Menteri.

“Kami nak supaya ikut peraturan. Kalau tak ikut peraturan, kita terpaksa betulkan. Yang di-Pertuan Agong semalam bertitah ya, sebagai penggubal undang-undang, Ahli

Parlimen, you sendiri kena ikut peraturan, ya. You itu termasuk kerajaan dan juga pembangkang itu keadaannya,” hujahnya.

Ronald Kiandee pula dalam ulasannya mengakui bahawa Speaker memiliki budi bicara untuk membenarkan perkara tersebut tetapi mestilah mengikut undang-undang dan kebijaksanaan secara perundangan, rasional dan justifikasi.

“Sepatutnya Speaker tidak boleh meluluskan apa saja yang diminta oleh kerajaan kalau sekiranya tidak berperaturan. Tidak diregular. Apa lagi illegal,” ujar beliau yang merupakan Naib Presiden BERSATU. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -