Usaha kurangkan beban ibu bapa beli pakaian sekolah

- Advertisement -

BENTONG: Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari menitipkan pesanan kepada para pelajar supaya belajar dengan bersungguh-sungguh dan membanggakan ibu bapa.

- Advertisement -

Beliau turut melahirkan rasa terharu apabila melihat para pelajar yang terlalu gembira menyarung pakaian sekolah yang baharu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau itu menyatakan demikian susulan Majlis Sumbangan Back 2 School yang diadakan di pasar raya Mydin Jengka, Bandar Jengka petang kelmarin.

Program yang melibatkan 50 pelajar terpilih dan memerlukan di dalam Parlimen Kuala Krau itu anjuran Muslim Care dan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kuala Krau dan Pusat Khidmat Dun Jengka.

“Saya sungguh terharu melihat anak-anak ini terlalu gembira apabila mereka semua menyarung pakaian sekolah yang baharu.

“Tak lain tak bukan majlis ini diadakan adalah untuk mengurangkan bebanan ibu bapa anak-anak untuk membeli pakaian sekolah yang baharu.

“Pesan saya kepada anak-anak ini supaya belajar bersungguh-sungguh dan banggakan ibu ayah,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis yang cukup bermakna itu.

“Insya-Allah doakan kami untuk dipermudah urusan membantu masyarakat,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz pula berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dalam menjayakan aktiviti kebajikan kepada asnaf di dalam DUN itu.

“Terima kasih kepada Muslim Care Malaysia kerana menganjurkan majlis seumpama ini,” katanya.

Beliau berkarap semoga majlis itu terus menjadi acara tahunan dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak.

“Kita bantu bukan saja misi di luar negara, di dalam negeri juga kita utamakan bila mana keperluan anak-anak asnaf ini sangat memerlukan sumbangan untuk keperluan persekolahan mereka,” kata Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Ustaz Johari Ismail pada majlis itu. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -