‘Kurangkan berpolitik, kuasa negeri perlu dihormati’

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang harus bekerjasama dan mengurangkan politik dalam menguruskan negara.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tumpuan sepenuhnya wajar diberi kepada usaha membangunkan negara dengan mengambil kira kedudukan setiap negeri dalam perlembagaan.

- Advertisement -

“Politik adalah satu kaedah untuk mencapai ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara tetapi yang penting ialah semua pihak harus bekerjasama, kurangkan berpolitik.

“Kuasa negeri-negeri perlu dihormati, negeri mempunyai peranan tertentu dalam sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia ini,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook miliknya, selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada istiadat berkenaan.

Mengulas lanjut, Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Sultan Ibrahim bertitah dengan menekankan pelbagai aspek yang menyeluruh dalam negara ini.

“Baginda bertitah bersangkutan masalah perpaduan dalam negara kita, kedudukan ekonomi yang perlu diperkasakan dan sistem pendidikan tinggi yang perlu mempunyai hala tuju jelas.

“Pelbagai lagi perkara yang terangkum di dalamnya dan sepatutnya menjadi perhatian semua pihak untuk sama-sama bergerak bersama membina negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -