Kenali PAS, tetapi bukan melalui lidah DAP atau PH

Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Slogan ‘PAS For All’ adalah bagi memperbetulkan perspektif terhadap PAS dan membuka peluang buat masyarakat bukan-Melayu lebih mengenali PAS di mana tidak memerlukan lidah DAP atau Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata, DAP atau PH yang punya agenda jahat mendakwa slogan ini kononnya akan menakutkan masyarakat bukan-Melayu, namun PAS mahu buktikan sebaliknya.

“Sebagai sebuah parti politik yang memiliki dasar dan matlamat perjuangan yang jelas, PAS akan sentiasa berikhtiar untuk memasarkan dirinya pada masyarakat pengundi agar ia diterima dan boleh menang berkuasa atas dukungan rakyat jelata.

“PAS bukan parti setahun jagung atau parti nyamuk sebagaimana yang lain, tetapi atas rekod usia perjuangan mencecah 70 tahun ia hari ini adalah parti yang memiliki lebih 1 juta ahli.

“Dan merupakan parti terbesar di Parlimen dengan menguasai 43 kerusi, selain menerajui empat negeri Melayu dan perwakilan di hampir seluruh negeri kecuali Sarawak,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Menurut Roslan, dengan pencapaian besar ini PAS sedar ia telah pun menguasai sokongan majoriti pengundi Melayu Islam dalam negara yang rata-rata dahulunya cenderung kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Cumanya angka-angka menunjukkan PAS kurang berjaya dalam memperolehi sokongan masyarakat bukan-Melayu. Musuh politik PAS khasnya DAP dan PH kuat menyumbang ke arah faktor ini.

“Kerana terbukti DAP berterusan menghasut dan menakut-nakutkan masyarakat bukan-Melayu dengan menggambarkan seolah PAS ini parti ekstremis yang ganas dan tidak mesra mereka.

“Realitinya Islam yang PAS perjuangkan tidaklah begitu, malah keadilan dan kesejahteraan buat semua yang dijamin Islam itulah matlamat PAS,” tambah beliau.

Slogan PAS For All jelasnya, adalah usaha murni PAS memberi penerangan khas kepada masyarakat bukan-Melayu dengan harapan mengikis segala kerja jahat tohmahan dan fitnah yang dilemparkan selama ini.

“PAS mahu membuktikan bahawa Islam yang ia perjuangkan bukannya satu ancaman buat masyarakat bukan-Melayu, tetapi sebaliknya ia menjanjikan sesuatu yang baik buat semua.

“Kerana ia melahirkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah yang bertanggungjawab membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan semua. 

“Semua boleh hidup aman damai bebas berniaga dan mencari rezeki. Tiada rasisma, tiada diskriminasi. Tiada sekolah Cina atau Tamil yang ditutup dan tiada kuil atau gereja yang diroboh sebagaimana ditohmah musuh-musuh PAS,” hujah beliau.

Masyarakat bukan-Melayu di empat negeri yang diperintah PAS kini tambah beliau, boleh menjadi saksi, malah pernah menjadi Menteri Besar Perak dan bariskan Exconya di Perak dan Selangor dalam Kerajaan Pakatan Rakyat dulu.

“Semua telah lihat prestasi dan wibawa wakil-wakil PAS. Tiada yang menjadi mangsa PAS pun. Berilah PAS peluang, give PAS a chance,” pinta beliau. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -