Peminat Messi dapat diskaun tiket separuh harga

Lionel Messi duduk di bangku pemain simpanan ketika perlawanan Inter Miami dengan Hong Kong di Hong Kong pada 4 Feb 2024. (FOTO: Tatler Asia)
- Advertisement -

HONG KONG: Penganjur perlawanan antara Inter Miami dan Hong Kong pada minggu lalu akan memulangkan kembali bayaran tiket sebanyak 50 peratus daripada harga keseluruhan tiket.

Ia adalah susulan peminat berang kerana Lionel Messi tidak diturunkan ketika perlawanan tersebut akibat kecederaan tetapi beraksi dalam perlawanan di Jepun beberapa hari kemudian

Tatler Asia, sebuah syarikat penerbitan dan gaya hidup yang juga penganjur perlawanan tersebut dalam kenyataannya pada hari ini, Jumaat (9 Feb), memohon maaf di laman Instagramnya kerana peminat dikecewakan selepas Messi tidak diturunkan semasa perlawanan pada Ahad lalu.

- Advertisement -

Perlawanan di Hong Kong itu menarik lebih 40,000 peminat bola sepak, dengan beberapa penonton membayar sehingga hampir HK$5,000 (RM3,047) untuk satu tiket. 

“Kesemua tiket perlawanan yang dibeli melaluii saluran rasmi layak  mendapat bayaran balik sebanyak 50%,” ujar kenyataan Tatler Asia.

Ketua jurulatih Inter Miami,  Gerardo ‘Tata’ Martino berkata, Messi dianggap tidak cergas untuk diturunkan dalam perlawanan persahabatan di Hong Kong itu, tetapi beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 menentang Vissel Kobe pada perlawanan Rabu.

Dalam perlawanan di Tokyo, keseluruhan blok tempat duduk di Stadium Nasional Jepun kelihatan lengang, dengan hanya 28,614 tiket terjual.

Tatler Asia berkata, Inter Miami komited untuk memastikan pemain terbaik mereka termasuk Messi dan Suarez dari Uruguay akan bermain selama 45 minit kecuali jika mereka mengalami kecederaan.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -