Ibrah Israk dan Mikraj: Membina diri untuk perjuangan

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

MASJID Al-Aqsa menjadi kiblat pertama kepada umat Islam dan masjid yang kedua dibina dalam Islam serta tanah suci ketiga selepas daripada Makkah dan Madinah.

- Advertisement -

Ia kini ditakluk dan dijajah yakni berada di tangan Zionis-Yahudi di mana inilah luka yang paling besar menimpa umat Islam pada hari ini, sekali gus menuntut semua umat Islam untuk bersama-sama berjuang bagi membebaskan.

“Ya kita boleh menuduh menuding jari kepada musuh-musuh Islam di luar sana yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Memang itu kerja mereka. “Yahudi dan Nasara selama-lamanya. Tidak akan reda kepadamu wahai Muhammad sehinggalah kamu mengikut agama mereka.”

“Tetapi kita umat Islam perlu melihat kepada diri kita sendiri, “Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib satu-satu kaum melainkan kaum itu merubah diri mereka sendiri,” maknanya mestilah kembali kepada Islam.

“Tak boleh kita mengambil jalan-jalan lain selain daripada Islam. Kita perlu bina diri kita. Bina diri kita dengan akidah dengan iman berpegang kepada syariat Islam dan akhlak pembinaan ini sentiasa berlaku. Dan hari ini kita perlu meningkatkan lagi,” ujarnya.

Al-Quran adalah kitab mukjizat setiap kali dibaca al-Quran akan sentiasa mendapat ilmu baru diperolehi. Mukjizat al-Quran yang tidak terdapat pada kitab-kitab dan buku-buku yang lain. Al-Quran menyebut mengenai dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa.

Di dalam hadis yang sahih jarak pembinaan di antara kedua-dua masjid ini dinyatakan selama 40 tahun. Nabi Ibrahim bina Masjidil Haram dulu kemudian barulah dibina Masjidil Aqsa.

Kata kunci di sini ialah empat puluh tahun di mana hari ini ramai ulama yang mengkaji mukjizat al-Quran dari sudut angka di mana disebut dalam Quran, dalam ayat yang lain angka 40 tahun. Allah Taala menceritakan kisah Bani Israil.

Apabila mereka enggan berjihad pada jalan Allah di zaman Nabi Musa AS menyeru kaumnya supaya berjihad di bumi Palestin yang telah dijanjikan kepada mereka. Syaratnya mereka mesti pergi berjihad, tetapi mereka enggan.

Bani Israil menyuruh Nabi Musa dan Tuhannya pergi berperang, tetapi mereka mahu hanya duduk berada di situ. Lalu Allah Taala menurunkan bala ke atas mereka sesat di padang pasir selama 40 tahun.

Membina peribadi Muslim

“Dalam 40 tahun ini, apa yang Nabi Musa buat? Dan juga pengikut-pengikutnya yang setia. Nabi Musa mentarbiah, mendidik, membina, sebab itulah kata kunci pembinaan di sini bukan sahaja pembinaan dari sudut membina Masjidil Haram selepas 40 tahun dibina.

“Binaan di sini juga maksud ialah pembinaan peribadi. Diisi dengan akidah syariat akhlak dalam tempoh 40 tahun itu Nabi Musa membina satu generasi. Sehingga Nabi Musa wafat, generasi itu dipimpin oleh Nabi Ishak selepas 40 tahun. Akhirnya mereka berjaya masuk ke bumi Palestin,” ujarnya.

Pengasas HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin pernah sebut dalam satu wawancara sekitar tahun 1999 bahawa Baitulmaqdis dan bumi Palestin akan dibebaskan, serta negara haram Israel akan berkecai pada tahun 2027 atau 2028 bersandarkan hujah 40 tahun itu.

Beliau mengatakan bahawa selama 40 tahun semenjak tertubuhnya negara haram Israel tahun 1948 hinggalah tahun 1988, umat Islam berada dalam keadaan kucar-kacir. Orang Arab dengan bangsa Arabnya, Turki dengan bangsa Turkinya dan lain-lain lagi.

Orang Arab secara khususnya bila mereka berperang menentang negara haram Israel di atas dasar kebangsaan, mereka kalah. Dalam peperangan 1967 dan peperangan-peperangan yang lain mereka kalah. Walaupun menjadi pemenang tahun 1973, tetapi ia separuh jalan tidak sampai kemuncak.

“Maknanya zaman empat puluh tahun itu zaman kegelapan kepada umat, maka berlaku proses pembinaan. Ditubuhkan HAMAS tahun 1987, as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin menyatakan bahawa generasi inilah generasi yang akan membebaskan Masjidul
Aswad.

“Bagi kita umat Islam dari segi angka nombor ni kita tidak berpegang bersandar yakin 100 peratus. Kalau berlaku alhamdulillah. Kalau tak berlaku itu aturan Allah. Yang penting yang saya nak sebutnya ialah kata kunci pembinaan yang dinyatakan perlu ada dalam diri umat besar kita perlu bina kekuatan kita akidah.

“Keyakinan. Inilah sebenarnya yang menyatukan umat Islam di mana sahaja mereka berada. Kerana akidah mereka terhadap bumi bila kita menyokong, mendokong perjuangan saudara-saudara kita di Palestin bukan di atas dasar, bangsa, kaum, negara. Tidak!

“Tapi di atas dasar akidah kerana bumi Palestin ini bumi milik umat Islam. Bukan milik orang Palestin, bukan milik orang Arab. Tak kira umat Islam itu daripada bangsa apa kaum apa, negara apa.

“Bila mana mereka adalah umat Islam, maka bumi Palestin adalah milik kita dan di sana terdapat berita-berita gembira yang banyak yang disebut dalam nas-nas syarak bahawa suatu hari nanti bumi Palestin ini akan kembali ke tangan umat Islam,” ujarnya.

Jihad dan pengorbanan

Kemenangan akan berpihak kepada umat Islam, namun kemenangan itu Allah Taala tidak beri dengan percuma. Kemenangan itu satu kurniaan yang sangat mahal dan sepertimana benda mahal, ia tidak dijumpai di tengah jalan.

Oleh itu untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, ia memerlukan pengorbanan, namun kemenangan untuk membebaskan Palestin mengembalikan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa ke tangan umat Islam jauh lebih mahal lagi.

Maka Allah Taala tidak akan beri kemenangan dengan percuma, tetapi perlu pengorbanan dan jihad daripada umat Islam. Oleh kerana itulah tidak ada jalan lain untuk membebaskan Masjidil Aqsa melainkan dengan jalan jihad yakni dengan segala bentuk kemampuan.

“Mengangkat senjata bagi kita saudara-saudara kita di sana. Jihad umat Islam di mana-mana sahaja perlu menyokong perjuangan. Doa berterusan. Derma, harta benda. Sokongan moral hari ni dunia tanpa sempadan media internet, media sosial perlu digemblengkan.

“Untuk kita berada di dalam satu saf dalam perjuangan untuk membebaskan
dan kita sangat beruntung kerana kita berada pada zaman ini. Macam mana kata kita beruntung? Bukankah Palestin berada di tangan Zionis?

“Ya kita beruntung kerana Allah Taala takdirkan kita berada dalam generasi ini generasi yang faham. Generasi yang berjuang, yang berjihad untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Kita beruntung maka kita mestilah berada di atas landasan ini,” serunya.

Usaha Gerakan Islam

Sebenarnya usaha-usaha membebaskan bumi Palestin ini berlaku seawal Palestin dijajah dan ditakluk oleh penjajah British iaitu selepas kekalahan dan kejatuhan khilafah Islamiah Uthmaniyah lagi.

Berlaku beberapa perjanjian di pihak penjajah atau kuasa Barat yang memecahkan dunia Islam dibahagikan sesama mereka sehingga Gerakan-gerakan Islam tumbuh diasaskan oleh para ulama serta pejuang Islam dalam menentang penjajah.

“Maka bermulalah satu perkembangan yang begitu hebat berlaku sehinggalah ke hari ini. Makin hari makin memuncak, makin hari makin berkembang perjuangan ini. Maka gerakan-gerakan Islam tidak henti-henti sebenarnya melakukan pelbagai usaha dan cara untuk membebaskan bumi Palestin ini.

“Melalui kesedaran ini berterusan. Contohnya bagi kita umat Islam di Malaysia. Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan setiap kali tibanya bulan Rejab kita sambut Israk dan Mikraj maka kita akan kaitkan dengan isu Palestin.

“Tetapi malangnya kebanyakan negara-negara umat Islam dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang lemah. Jadi tidak boleh untuk menunjukkan satu sikap dan pendirian yang berani dan jelas dalam isu untuk membebaskan Masjidil Aqsa ini.

“Apa yang menariknya ialah mereka yang berada dalam kelompok perjuangan ini tidak ramai Dan mereka ditentang. Mereka dihalang. Mereka dikenakan dengan pelbagai tindakan,” ujarnya.

Pun demikian, berdasarkan beberapa hadis Rasulullah SAW mengenai para pejuang ini adalah akhirnya mereka mendapat janji Allah berkenaan kemenangan pembebasan bumi Palestin.

Istiqamah perjuangkan Islam

Umat Islam kita perlu peka kepada banyak perkara dan salah satunya adalah politik semasa dunia hari ini. Kerana politik ini banyak cabang-cabangnya; politik barat, politik timur, tetapi umat Islam ada manhaj politik kita sendiri.

Manhaj politik Islam pula ada banyak cabang-cabang di mana salah satunya ialah hubungan antarabangsa. Maka hari ini kita umat Islam perlu peka kepada isu-isu yang berlaku di luar negara selain daripada yang berlaku dalam negara sendiri.

“Nabi SAW mendidik para Sahabat RA bukan sahaja dari sudut akidah dan sudut syariat. Bahkan dari sudut politik khususnya dari sudut kepekaan kepada politik antarabangsa,” ujarnya.

Antara dilakukan Baginda kepada Sahabat RA adalah hijrah ke Habsyah, juga perang dengan Rom dan Parsi.

Sekali gus bermakna umat Islam hari ini juga kena peka dengan cabaran ke atas umat Islam seperti isu Islamofobia, liberalisme, pluralisme dan sebagainya.

(Dipetik dari Syarahan Perdana Serambi Dunia Islam oleh Pengerusi Yayasan Permata Ummah, DR USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI sempena Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia di Malakat Mall, Cyberjaya malam tadi. Ditulis semula dan disunting oleh IZWAN ABDUL HALIM | [email protected]) – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -