Esok penentu penting kehidupan umat Islam di negara ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan yang bakal memberi keputusan kepada petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid akan menyaksikan sama ada kesalahan jenayah Syariah jatuh satu persatu atau boleh dikekal lagi.

- Advertisement -

Peguam, Lukman Sheriff berkata, sebelum merdeka lagi, kesalahan jenayah Syariah seperti kesalahan minum arak, berjudi, makan khalayak ramai di bulan puasa dan sebagainya adalah kesalahan bagi umat Islam.

Menurutnya, sebelum merdeka juga, British pun tak berani menyentuh hal berkaitan jenayah syariah, tetapi sejak 2021 mula diubah oleh mahkamah di mana keputusannya akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada esok hari.

“Saya telah cuba sedaya upaya dalam pengaruh saya untuk menyekat kejatuhan ini. Saya telah cuba menguar-uarkan kepada seramai mungkin kesan kes esok ini. Saya cuba mendapat seramai mana majlis agama dan NGO Islam terlibat dalam kes ini.

“Melalui ramai rakan-rakan guam yang terlibat kami telah cuba bentangkan hujah-hujah yang selalu saya dan rakan-rakan tulis dan juga hujah-hujah baru untuk terbalikkan hujah keputusan tahun 2021. Kami cuba buat apa yang terbaik dan termampu,” ujarnya.

Melalui NGO pula maklumnya, beliau cuba menggerakkan segala upaya dengan mengadakan banyak penerangan dan gerakan yang antaranya berjaya menghasilkan satu perhimpunan besar dan mendapat liputan luas.

Katanya, penerangan kepada sebahagian dari wakil rakyat pun dibuat, tetapi usaha itu belum lengkap sepenuhnya kerana banyak lagi usaha perlu diatur dan ramai lagi wakil rakyat yang perlu ditemui.

“Gerakan saya dan rakan-rakan tidak partisan. Semua saya jumpa termasuk parti politik bukan-Islam. Gerakan ini merentasi politik. Satu hari nanti kalau berjaya saya akan cerita sepenuhnya apa yang berlaku sepertimana saya cerita apa berlaku ketika ICERD.

“Saya dan rakan-rakan sebenarnya tidak mengharap kita menang esok ini. Tetapi kalau kita menang setelah semua usaha kita di atas dilakukan, saya amatlah bersyukur kehadrat Ilahi.

“Tetapi kalau kita kalah mengikut keputusan 2021, saudara-saudaraku kita sebenarnya tiada pilihan kecuali untuk pinda zperlembagaan. Jelas usaha kita belum cukup. Bagi setiap muslim, ‘our way of life’ akan berubah selamanya jika kita kalah dan berdiam diri.

“Agama kita akan menjadi seperti di Barat. Agama Islam akan menjadi urusan peribadi jika Muslim minum arak, berzina, berjudi, tak puasa dan sebagainya itu dikatakan hak masing-masing.

“Kerajaan negeri tidak lagi akan punyai kuasa gubal kesalahan jenayah syariah untuk Muslim di negeri-negeri. Kuasa raja sebagai ketua agama negeri untuk mencorakkan nilai budaya muslim akan selama-lamanya terkikis,” ujarnya.

Tegasnya, semua perkara itu akan berlaku jika umat Islam alpa dan menerima keputusan kekalahan tanpa bantahan kerana tiada siapa yang dapat mengubah nasib itu kecualilah umat Islam mengubahnya sendiri.

“Kalau esok ini kita kalah berdasarkan keputusan 2021, sudah tiba kita bangkit menuntut semua wakil rakyat kita, tak kira parti politik mana, meluluskan pindaan Perlembagaan supaya kuasa menggubal kesalahan jenayah syariah negeri-negeri dan raja-raja kita dikembalikan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -