Penurunan nilai ringgit semakin membimbangkan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penurunan nilai ringgit Malaysia yang kini berada pada paras RM4.76 berbanding satu dolar Amerika Syarikat baru-baru ini, amat membimbangkan.

- Advertisement -

Ketua Bersatu Bahagian Maran, Dato’ Jasri Jamaludin, berkata, kecelaruan politik negara  memberikan impak buruk serta merugikan apabila keyakinan pelabur semakin kurang dan mempengaruhi nilai mata wang negara.

Justeru, tegas beliau, Kerajaan PH-BN mesti bertindak segera dalam menangani cabaran ekonomi secara mampan, dengan memberikan fokus bagi kesejahteraan rakyat.

Dato’ Jasri Jamaludin

ADUN Kuala Sentol ini mendakwa seolah-olah Perdana Menteri sedang membawa negara ke dalam kancah ekonomi rapuh sebagaimana yang terlihat melalui keputusan dan dasar beliau yang meragukan.

Kesannya kata beliau, semakin jelas dengan keputusan mereka yang seperti tiada hala tuju dan sedang membawa ekonomi negara hampir ke dalam krisis ekonomi.

Beliau berkata, petunjuk ekonomi menunjukkan prestasi ekonomi negara semakin merudum, diburukkan dengan kadar pengganguran yang tinggi.

Katanya, semua ini telah menyumbang kepada keadaan kewangan yang begitu mencabar secara keseluruhannya.

Selain itu, tegas beliau, kadar inflasi juga terus meningkat, sekali gus memberi kesan kepada harga barang dan perkhidmatan yang mempengaruhi penurunan nilai mata wang negara.

“Kuasa beli rakyat juga semakin menurun dan berkurangan. Ketidakstabilan politik pula semakin mengancam krisis ekonomi yang melanda.

“Ternyata, sejak PH-BN memegang tampuk pemerintahan negara, ekonomi negara semakin jauh ke belakang, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini,” tegasnya.

Beliau berkata, usaha kerajaan PH-BN seolah-olah hanya mahu membalas dendam terhadap ahli-ahli dan pemimpin pembangkang, dengan memerintahkan institusi-institusi kerajaan tertentu untuk mencari kesilapan mereka yang kononnya telah dilakukan pada masa lampau dan merugikan negara dan rakyat.

Maka, jatanya, berlakulah sekarang ini ‘operasi pemburuan dan siasatan’ oleh pihak berkenaan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang tanpa tuduhan rasmi.

“Cukup cukuplah segala omong-omong kosong dan janji palsu reformasi mereka untuk mensejahterakan negara ini.

“Saya menyeru rakyat untuk terus memperjuangkan isu-isu penting mengenai kehidupan mereka melalui platform media sosial masing-masing.

“Moga apa yang kita lakukan akan dapat menyedarkan kerajaan untuk segera mencari penyelesaian tuntas terhadap segala permasalahan rakyat dan negara yang semakin meruncing,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -