Bendahari bukan jaga duit tetapi jana kewangan

- Advertisement -

AMPANG: Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad mengingatkan semua bendahari di pelbagai peringkat supaya mengubah fikiran daripada berperanan hanya menjaga duit kepada menjana kewangan.

- Advertisement -

Katanya, ini kerana tugas bendahari bukan sahaja menjaga duit tetapi menjaga dan menjana duit parti.

Bendahari, kata beliau tidak boleh mengambil langkah berjimat cermat, sehingga ahli PAS di peringkat berkenaan tidak boleh membuat sebarang program.

“Kita kena sentiasa jujur dengan perlembagaan parti iaitu apa sahaja yang kita laksanakan mesti selari dengan perlembagaan parti.

“Dari segi duit yang boleh disimpan dalam tangan, ada dalam perlembagaan dan tidak boleh lebih daripada itu.

“Jika kita hendak belanja kena kelulusan daripada Jawatankuasa-jawatankuasa tertentu. Kita kena belajar,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Bendahari PAS Pusat di sini, hari ini.

Menurut beliau, ada duit yang hanya boleh diluluskan oleh mesyuarat agung, kawasan, dewan harian dan bendahari itu sendiri yang boleh membuat keputusan.

Justeru kata beliau, semua bendahari perlu faham dan belajar menjana duit dan semua pengurusan kewangan perlu diuruskan secara profesional.

“Dahulu saya melihat ada kawasan yang melantik bendahari orang yang sudah pencen atau orang yang tiada jawatan, ini silap,” ujarnya.

Katanya, ini kerana bendahari merupakan satu jawatan penting untuk parti dan mereka mesti faham urusan kewangan.

Beliau berkata, ini kerana mereka ini bukan sahaja menjaga duit tetapi mempunyai idea hendak menambah kewangan organisasi. – HARAKAHDAILY 3/2/2024

- Advertisement -