Tingkatkan kebersihan capai matlamat Perlis bersih

- Advertisement -

PADANG BESAR: Dalam usaha menyokong Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menegaskan pentingnya meningkatkan kebersihan di setiap kawasan.

Beliau berkata usaha tersebut sejajar dengan hasrat Menteri Besar (MB), Mohd Shukri Ramli untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang bersih.

“Saya harap kita bersama-sama menjaga kebersihan negeri ini, MB sentiasa menekankan tentang kebersihan setiap kali dalam ucapannya untuk menjadikan Perlis negeri yang bersih,” katanya.

- Advertisement -

Dalam pada itu, Azmir yang juga Exco Kerajaan Negeri turut hadir bersama agensi berbincang langkah-langkah kebersihan untuk beberapa kawasan persekitaran seperti di simpang lampu jalan, Balai Baru bersebelahan Klinik Kesihatan Beseri.

Turut hadir wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Pembandaran Kangar (MPK), SWCorp, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Santan dan lain-lain.

“Usaha bersama ini menunjukkan komitmen yang tinggi dari pelbagai pihak dalam menjaga kebersihan Perlis.

“Diharapkan langkah-langkah yang dirangka akan memberi impak positif dalam menjadikan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang bersih dan menarik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -