Poligami, perceraian dibenarkan tapi tak digalakkan 

Statistik poligami tanpa kebenaran semakin meningkat dengan kadar yang tinggi dari tahun 2018 sehingga 2022 di Malaysia. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Topik ini setidak-tidaknya pasti digemari golongan lelaki. Poligami. Tanyalah mana-mana lelaki, pasti kaum Adam sangat-sangat mengetahui akan istilah itu.

Ya, poligami adalah apabila seseorang lelaki itu mengahwini lebih daripada seorang wanita dalam satu masa yang sama, dan dalam Islam dibenarkan mempunyai sehingga empat isteri.

Secara amnya, ramai juga lelaki bergelar suami memilih untuk berpoligami secara rahsia dan tidak memberitahu isteri mereka tentang hasrat ataupun niat mereka mahu berpoligami.

- Advertisement -

Dengan kata mudah, mereka tidak meminta kebenaran isteri mereka untuk berpoligami, sedangkan menurut undang-undang Syariah, perkahwinan kedua atau ketiga perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama dan kebenaran mahkamah. 

Statistik poligami tanpa kebenaran  semakin meningkat dengan kadar yang tinggi dari tahun 2018 sehingga 2022 di Malaysia. 

Sebagai contohnya, Selangor mencatatkan 1,617 kes pasangan bernikah dan berpoligami tanpa kebenaran sepanjang 2019 hingga 2022.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam laporan media pada 7 Mac 2023 berkata, jumlah berkenaan adalah sekali ganda berbanding pemohon yang meminta kebenaran untuk bernikah dan berpoligami iaitu sebanyak 859 kes dalam tempoh sama.

Sebenarnya, Islam membenarkan poligami,  namun terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang lelaki itu memutuskan untuk berpoligami. 

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟

Dalam surah al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud “Dan jika kamurisau tidak akan mampu berlaku adil terhadap perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah wanitalain yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu risau tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sehaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”

Ayat ini bermaksud dibenarkan kepada seseorang lelaki itu berpoligami dengan syarat mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya yang berjumlah lebih daripada satu. 

Isu poligami seringkali dan sentiasa  hangat diperkata dan dipersoalkan di media sosial mahupun dalam dunia realiti.

Semakin hari semakin banyak berita tentang poligami tersebar di media sosial terutamanya TikTok, Instagram dan Facebook. 

Sekadar mengutarakan isu ini sahaja sudah pasti akan menimbulkan banyak tindak balas atau respons mahupun pendapat yang berbeza daripada masyarakat sekeliling. 

Adakah poligami mengikut sunnah?

Jika ditanya mengapa mahu berpoligami? Ada sesetengah lelaki menjawab bahawa mereka ingin mengikut sunnah. 

Maksud sunnah ialah apa sahaja jenis perkataan, perbuatan, iqrar dan sifat daripada Nabi Muhammad SAW.  

Namun, itu sahajakah alasan mereka untuk berpoligami? Adakah mereka mengetahui apakah sebab-sebab Rasulullah berpoligami? 

Rasulullah berpoligami selepas kewafatan isteri pertamanya, Khadijah Khuwalid. Antara sebab baginda Rasulullah  berpoligami adalah atas tujuan dakwah, ingin memberikan perlindungan dan memberikan sokongan ekonomi terhadap golongan wanita yang memerlukan sekaligus menunjukkan keprihatinan Rasulullah terhadap mereka. 

Sunnah dan tanggungjawab seharusnya selari dalam konteks poligami. Ramai yang mengambil mudah tentang isu tanggungjawab yang lebih besar apabila berpoligami. 

Jika difahami sekali lagi tentang ayat surah an-Nisa’ ayat 3 diatas jelas menyatakan bahawa seseorang lelaki itu wajib berlakuadil dan jika lelaki tersebut meragui keupayaannya untukberlaku adil dan akan mengundang kezaliman, cukuplah seorang isteri sahaja.

Bukan sekadar nafsu lelaki

Perkara pertama yang akan timbul semasa membincangkan poligami ialah isu keadilan. Lelaki yang poligami mempunyai kewajipan untuk melayan isteri mereka secara adil, tanpa mengira asal usul, umur, kedudukan sosial, atau daya tarikan fizikal mereka. 

Kesudian mereka untuk berpoligami bukan sahaja memerlukan keupayaan mental dan fizikal tetapi juga kemampuan untuk memenuhi keperluan material. 

Dari segi keadilan dan kesaksamaan, pasangan poligami mempunyai cabaran yang ketara.

Merujuk surah al-Talak ayat 7: “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya”. 

Maksudnya, kewajipan dan tanggungjawab suami bertambah apabila dia berkahwin lebih daripada seorang isteri, terutamanya dalam hal menyediakan keperluan dalaman dan luaran. 

Suami bertanggungjawab untuk menyediakan penjagaan dalaman dan luaran berdasarkan kemampuannya dan mengikut syariat yang telah ditetapkan. 

Berpoligami mempunyai lebih banyak tanggungjawab dan bukanlah sekadar untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata.

Suami tidak berpenyakit

Dari segi nafkah zahir, seorang suami mestilah dapat memberikan keluarganya tempat tinggal yang sesuai dan selesa mengikut kemampuannya, memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, minuman, dan pakaian yang secukupnya, menyediakan kemudahan asas seperti pendidikand an kemudahan lain seperti kenderaan untuk anak-anak dan isteri mereka.

Nafkah batin pula, seseorang suami mestilah memberikan sokongan kepada isterinya dari segi belas kasihan, sokongan emosi, kasih sayang yang sama rata, didikan agama yang mencukupi, cara komunikasi dan hubungan intim yang baik antara suami dan isteri. 

Sebagai seorang suami, haruslah berusaha untuk meluangkan masa dan perhatian yang mencukupi dengan setiap isteri dan anak-anaknya walaupun lebih sukar apabila terdapat beberapa keluarga. 

Hasilnya, ikatan kekeluargaan semakin erat dan setiap ahli keluarga adalah dijamin berasa dihargai dan disayangi. 

Selain itu, seorang suami mestilah sihat tubuh badan dan tidak mempunyai penyakit untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan baik supaya dapat menepati syariat agama Islam yang telah ditetapkan.

Tanggungjawab ini sebenarnya merangkumi kepada semua yang bergelar seorang suami tidak kira berpoligami mahupun monogami.

Prosedur ketat  poligami

Tuntasnya, kejahilan masyarakat terhadap isu poligami menjadi punca kepada perdebatan poligami di Malaysia. Walaupun poligami dan perceraian dibenarkan, namun tidak digalakkan di dalam Islam. 

Namun begitu, poligami dan perceraian hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia dilihat sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah. 

Isu poligami ini harus diselesaikan secepatnya kerana semakin meningkat saban tahun. Pihak berwajib perlu bertindak lebih tegas seperti menjalankan prosedur yang lebih ketat kepada sesiapa yang berhasrat untuk berpoligami.

Oleh itu, ketua keluarga juga mempunyai tanggungjawabuntuk memastikan bahawa asas rumah tangga adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh dalil al-Quran, tanpa mengira jenis perkahwinan monogami atau poligami. 

Tidak dinafikan, jika sesebuah keluarga mengamalkan ajaran yang telah ditetapkan al-Quran, maka tidak akan berlaku pengabaian tanggungjawab, penindasandan penderaan dalam perkahwinan monogami atau poligami.

Nik Norsyamiza Nik Sanusi ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -