Ekonomi negara kian meruncing, kerajaan acuh tak acuh

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara ketika ini disifatkan berada pada situasi yang menjejaskan golongan pengguna dan peniaga dalam keadaan sudah sedia dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

- Advertisement -

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memetik Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun sama.

Katanya, walaupun ada sedikit kenaikan, namun IHPR masih berada dalam lingkungan ‘wilayah negatif’ yang bermaksud permintaan dari luar negara amat rendah di bawah paras asas.

Kesannya ujar beliau, para pengilang domestik yang terjejas terpaksa mengurangkan pengeluaran produk masing-masing di mana masalah ini ada kaitan dengan kemerosotan pendapatan eksport dan kenaikan kos import.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, ia dipengaruhi sebahagian besar oleh ketidaktentuan pasaran luar negara, sedangkan golongan peniaga pula masih belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan.

“Sepatutnya pada fasa ini kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka.

“Walau bagaimanapun ini tidak berlaku malahan lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan Ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa membeli pengguna domestik.

“Saya ingin tegaskan aliran negatif IHPR ini juga dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.

“Selain memberi kesan kepada pengeluar, ini juga sudah tentu menambahkan beban hidup rakyat dari aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas,” ujarnya.

Beliau membayangkan situasi lebih buruk di mana sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.

“Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.

“Saya khuatir dalam keadaan para pengguna yang sudah pun terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara,” ujarnya.

Bagaimanapun kerajaan bidas beliau, seperti acuh tak acuh dalam menangani situasi yang sedang berlaku sekarang di mana selepas lebih setahun, masalah ini terus berlaku dan berlarutan tanpa ada tindakan konkrit boleh meredakan keresahan rakyat.

Jelasnya juga, aliran negatif IHPR ini merupakan salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat di mana jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, beliau khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah lebih buruk. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -