Diplomat Jepun kunjungi Perlis

Maasaki Saito (empat dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Perlis
- Advertisement -

KANGAR: PAS Negeri Perlis menerima kunjungan Kaunselor Politik Kedutaan Jepun, Masaaki Saito di Kompleks PAS negeri di sini.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Baharuddin Ahmad mengetuai Dewan Harian PAS negeri dalam pertemuan itu bersama ahli jawatankuasa lain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS

- Advertisement -

Menurut Baharuddin, pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara seperti isu-isu semasa politik tanah air selain pelaburan dan pelancongan negeri.

“Banyak perkara yang dibincangkan, terutama berkaitan pelaburan di Chuping Valley. Beliau menunjukkan minat mendalam berkaitan kawasan perindustrian setelah kita menerangkan dengan lebih mendalam.

“Selain itu, beliau melihat kekurangan pelancong Jepun datang ke negeri ini kerana tiada maklumat lanjut. Beliau mencadangkan agar kita menggiatkan lagi promosi.

“Kebanyakan pelancong Jepun yang datang ke Malaysia, mereka berada sekitar Kuala Lumpur, tetapi tidak tahu untuk datang ke Perlis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu Massaki memuji keindahan negeri Perlis dan penduduknya yang hebat.

“Saya sangat gembira dapat datang ke Perlis, penduduk yang sangat hebat dan cantik, tempat yang menyeronokkan. Kepada semua, sila datang ke Perlis,” katanya.

Pertemuan itu diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -