Pelajar minat STEM, data ‘kemenjadian murid’ lebih tepat

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Data berkaitan ‘kemenjadian murid’ adalah lebih tepat dalam mengukur peningkatan dalam minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, engineering dan matematik (STEM).

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru, Arif Ainuddin, ia lebih tepat berbanding dengan menggunakan data enrolmen pelajar dalam bidang itu.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tentang ketidakselarian data berkaitan perkara itu yang diberikan oleh Perdana Menteri dan beberapa orang menteri terbabit.

“Pada Ogos 2023, PMX sewaktu berucap bagi merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkormisialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023) berkata kajian terbaharu KPM mendapati minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik menurun.

“Pada Ogos 2023, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang berkata mengikut statistik, terdapat penurunan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi,” ujarnya.

Tambah Arif, pada Oktober 2023, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sewaktu menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari pula memaklumkan enrolmen murid dalam aliran STEM menunjukkan peningkatan daripada 40.95 peratus pada tahun 2021 kepada 45.73 peratus pada tahun 2023.

Katanya, pada Disember 2023, Utusan Malaysia melaporkan bahawa peratusan minat pelajar kepada aliran STEM semakin pulih berdasarkan kenyataan Fadhlina yang merujuk kepada data-data terbaru menunjukkan sudah ada trek rekod yang sangat baik berdasarkan sasaran nisbah 60 peratus pelajar mengambil aliran sains.

“Hanya empat bulan selepas PMX menyatakan minat pelajar terhadap subjek Matematik dan Sains menurun, Menteri Pendidikan menyatakan minat terhadap aliran STEM semakin pulih.

“Maka, sangat tuntas sekiranya YB Fadhlina menjelaskan sama ada data yang digunakan oleh PMX dan data yang digunakan oleh beliau adalah data daripada sumber yang sama atau berlainan,” kata beliau.

Jelasnya, ini menimbulkan tanda tanya bagaimana hanya empat bulan sahaja diperlukan oleh kerajaan bagi melaksanakan sebarang pelan seterusnya mengumpul dan menganalisis data, membuktikan minat pelajar kembali pulih bagi isu yang telah berlarutan lebih 55 tahun.

Menurutnya, kerana itu ukuran harus dibuat berdasarkan ‘kemenjadian murid’ dan bukannya berdasarkan enrolmen.

“Berbanding enrolmen, sudut terpenting yang perlu diberikan penekanan oleh Menteri Pendidikan untuk disampaikan kepada rakyat adalah kemenjadian murid. Bentangkan kepada kami data ini, kajian ini, kerana ia lebih penting dan perlu.

“Isu pendidikan memerlukan YB Menteri bersifat jujur dan empati dalam menyatakan kebenaran dan mengakui kelemahan. Hentikanlah pengumuman-pengumuman yang bersifat gempak dan penyataan-penyataan ‘sugar-coating’. Rakyat tidak memerlukannya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -