PAS Johor tuan rumah Muktamar Tahunan PAS 2014

Sejarah PAS Johor 2013-2023

- Advertisement -

SEMENTARA menunggu bas tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) saya sambung penulisan berkaitan dengan sejarah PAS Johor bermula tahun 2013 sehingga tahun 2023 dengan menulis perkara yang berkaitan dengan keputusan PAS Pusat untuk menganjurkan Muktamar Tahunan PAS di Johor.

Sangat menarik Muktamar PAS Johor ini kerana;

1. Tapak Muktamar terpaksa ditukarkan ‘last minute’ dari Sutera Mall Square, Johor Bahru tetapi terpaksa ditukar pada saat akhir. Ia bertukar ke Dataran Che Ros di Parit Raja, Sri Gading. 

Muktamar Dewan Pemuda PAS di Dewan Chun Moi, Kota Tinggi, Dewan Muslimat di Pulai Spring Resort, Johor Bahru dan Dewan Ulama berlangsung di Kulai, Johor. 

2. Persiapan Muktamar telah dibuat sejak awal tahun lagi oleh PAS Johor kerana kesukaran untuk memilih lokasi yang sesuai dan dibenarkan oleh pemilik premis. Akhirnya, muktamar terpaksa dibuat di dalam ‘marque tent’ yang disewa dari Kelantan kerana kos sewaan yang rendah.

3. Pertama kali saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung dan tugasan pertama sebagai Timbalan Pengarah Panitia dan muktamar diadakan di negeri Johor.

Namun, insiden luar jangka yang berlaku dalam perbahasan dan menimbulkan pertikaian yang berpanjangan sehingga berterusan dalam tempoh yang lama.

Secara lanjut, saya akan buat ulasan panjang di dalam penulisan saya nanti. 

- Advertisement -

Saya kongsikan sedutan Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan semasa majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60; 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

1. Muktamar yang ke – 60 pada kali ini bertandang ke negeri Johor. Di sinilah pada awal 1920 bermulanya pengaruh Sarekat Islam apabila Haji Ibrahim Sidin dari Singapura menggerakkan penubuhan cawangan Sarekat Islam di Johor dalam keadaan masyarakat Islam menunggu lahirnya sebuah gerakan Islam dalam negara kita ini.

2. Bagi mengingatkan semua di kalangan pendukung parti ini, maka kita bermuktamar pada hari ini dengan tema Terus Beristiqamah. Kita ingin menyahut seruan Allah S.W.T:

“Dan sesungguhnya inilah jalan ku yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya (yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu, supaya kamu bertaqwa (kepadanya).”

3. Istiqamah dalam perjuangan kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan, menerima amanah dari Allah S.W.T, dan seterusnya bersama kumpulan Islam menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan kita.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Penolong Setiausaha Agung PAS – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -