Industri bas ekspres hanya mampu bertahan 10 bulan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Industri bas ekspres di negara ini dijangka hanya mampu bertahan sekurang-kurangnya 10 bulan sekiranya kerajaan tidak campur tangan membantu mereka.

- Advertisement -

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail berkata, campur tangan itu membabitkan penguatkuasaan kategori dan spesifikasi perkhidmatan bas ekspres.

Menurutnya, ia melibatkan kategori ekonomi yang menawarkan tempat duduk 2+2 tanpa baris tempat duduk tunggal.

“Kategori eksekutif pula menawarkan tempat duduk 2+1 dengan satu baris tempat duduk tunggal.

“Bila peraturan ini tidak dikuatkuasakan, pemain industri berdepan dengan persaingan apabila ada syarikat yang menawarkan harga ekonomi menggunakan bas eksekutif,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya keadaan itu memberikan kesan tidak baik kepada pengusaha bas yang sedang berdepan dengan pelbagai peningkatan kos termasuk harga badan bas, casis, bahan api dan sebagainya.

Katanya juga PEMBAWA bersama Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 21 Disember lalu.

Kata beliau memorandum itu menggesa kerajaan campur tangan bagi penetapan kategori dan spesifikasi bas ekspres.

Laili menambah kata, jika tuntutan diterima ia bakal memanjangkan lagi jangka hayat pengendali perkhidmatan bas ekspres di negara ini.

“Cadangan ini bersifat ‘menang-menang’ di mana rakyat dapat menggunakan perkhidmatan bas ekspres mengikut pilihan masing-masing.

“Pada masa sama, pengusaha dapat meneruskan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Pandemik Covid-19 dua tahun lalu memberi kesan yang buruk kepada kami dalam sektor ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024

- Advertisement -