ALOR SETAR: Pejuang Islam mesti menjauhi sifat penakut, malas dan kedekut yang mana ia akan menyebabkan hilang kelayakan untuk berjihad, demikian kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.
“Kita kata jomlah (buat gerak kerja perjuangan). (Tapi dia jawab) ‘Ishhh…. tak berapa berani eh’. Kita habaq (kata) kata tak dak bahaya apa. (Dia jawab) ‘Ishhh…. tak boleh eh’. Dia segan (malas). Itu hilang kelayakan.
“Kita kata beginilah, la ni hang (sekarang ini kamu) nak pi pun hang tak berapa berani. Lepas itu hang segan pula tambah. La hang bagi duit, bagi sumbangan. Dia kata ‘duit pun habis dah belanja raya hari itu’.
“Pakai tak dak apalah (orang seperti ini). Lepas itu hang nak bagi apa? Tenaga tak boleh bagi, masa tak boleh bagi, duit pun tak boleh bagi. Habis nak bagi apa untuk perjuangan?” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Tegas beliau, apabila itu tiada tiga perkara tersebut, maka seseorang itu hilang kelayakan sebagai pejuang dan untuk melaksanakan usaha jihad perjuangan Islam yang memerlukan sifat berani, rajin dan pemurah.
Jihad di jalan perjuangan jelas Ustaz Ahmad, sungguhpun menuntut sifat berani, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan secara melulu atau ‘terlajak’ hingga melakukan sesuatu secara ‘tidak ketahuan punca’.
Untuk itu terang beliau, sifat berani dalam melaksanakan jihad perjuangan mesti disertakan dengan kebijaksanaan dan berstrategi, bukannya berserah mengikut nasib ibarat ‘untung batu tenggelam, untung sabut timbul’.
“Pemimpin mestilah seorang yang berani dan bijak bertindak. Dia kena ada dua. Berani kena ada, bijak bertindak kena ada. Berani sahaja tanpa strategi dan perancangan yang baik hanya akan sebabkan kekalahan dan merugikan perjuangan,” peringatnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, perkara-perkara tersebut bagaimanapun bukan hanya sifat bagi pejuang perang, tetapi juga untuk pentadbiran, keorganisasian dan menguruskan manusia secara umumnya.
Iaitu menurutnya, mestilah mempunyai strategi yang tersusun dan matlamat untuk mencapai kejayaan di mana pemimpin malah perlu kenal potensi setiap ahli organisasi untuk diposisikan di kedudukan dan kemahiran sebetulnya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024