Kata Menteri Besar ‘Jom Datang Perlis’

- Advertisement -

MENYUSURI jalan selorong di keliling hutan kecil di kaki Banjaran Nakawan, Kangar terasa agak bimbang. Jalan selorong agak redup dan gelap.

- Advertisement -

Laluan bertar itu hanya  muat sebuah kenderaan. Paling bimbang kalau berselisih dengan kenderaan lain.

Lokasi itu terletak di kaki Banjaran Nakawan. Ia bermula dari Kuala Perlis sehingga Wang Kelian, Padang Besar. Jaraknya sejauh 36 kilometer.

Banjaran itu mempunyai sejarah warisan geologi yang dipercayai berusia ratusan juta tahun.

Terdapat peninggalan sejarah yang sinonim dengan aktiviti perlombongan bijih timah di Kaki Bukit dan Gua Kelam.

Lokasi terbabit menjadi pilihan wartawan Harakah Perlis Noor Sara Mashitoh bagi menjamah aneka makanan pagi ketika penulis berkunjung ke Perlis baru-baru ini.

Memandu mengikuti kenderaan Sara, yang begitu cekap memandu di lorong sempit berteman enam anaknya di hutan kecil, pada awalnya penulis menganggap Sara tersalah jalan.

Rupanya tidak. Di kaki Banjaran Nakawan rupa-rupanya ada sebuah restoran unik. Terletak jauh dari jalan utama dengan dikelilingi dusun durian dan buah-buahan.

Ketika penulis melewati Restoran Dusun Nakawan di Jalan Bukit Ayer, sudah banyak kenderaan di ruang parkir. Rupa-rupanya ramai menjamu selera hidangan pagi di restoran tersebut. 

Sarapan Dusun Nakawan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Kawasan itu dikeliling pokok durian, merupakan dusun milik keluarga pasangan anak muda yang mengusahakan restoran tersebut.

Suasana persekitaran begitu nyawan dengan tiupan angin pagi yang agak sejuk. Sesuai sangat warga kota mencari ketenangan jiwa. Alam hijau yang jauh daripada hiruk pikuk manusia.

Melewati lorong sempit dikelilingi hutan seumpama penoreh memasuki kebun. Awas ada jambatan kecil tidak berpagar sebelum menjejaki restoran Dusun Nakawan.

Dusun durian

“Kebun ini milik keluarga yang saya mula usahakan sejak pandemik Covid melanda negara. Saya dan suami mengusahakan restoran ini.

“Kami tidak beroperasi sehingga ke petang memandangkan hanya mendapat bekalan elektrik daripada solar. Tiada talian elektrik di sini,” kata pemiliknya ketika ditemui.

Suaminya berasal dari Ketereh, Kelantan. Restoran tersebut menyediakan pelbagai menu tempatan dan barat. Roti Arab dan pulut ikang kering juga disediakan.

Restoran tersebut beroperasi Sabtu hingga Rabu. Menjamah makanan dengan suasana dusun dan hutan begitu mengujakan. Ada juga yang datang dengan motosikal. Turut kelihatan ramai warga emas.   

Kehadiran ramai pelancong merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs). Kerajaan negeri menyasarkan 3.5 juta pelancong tahun ini.

Malah Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berharap sektor pelancongan mampu merangsangkan lagi ekonomi Perlis. 

Kata beliau kehadiran ramai pelancong dapat meningkat ekonomi negeri.

“Penduduk terlibat secara langsung termasuk menyediakan penginapan, mengusahakan kedai makan, menyedia pengangkutan dan pelbagai lagi.

“Banyak tempat menarik yang terdapat di Perlis. Jom lah datang ke Perlis bagi melihat sendiri keindahan alam semulajadi,” katanya ketika berkongsi pandangan ketika ditemui.

Bumi Perlis ternyata subur dengan tanaman padi. Pusing di mana sahaja di kawasan parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar boleh ditemui sawah jauh mata memandang.

Bendang ditemui di sepanjang jalan utama. Malah keindahan panorama bendang juga dimanfaat usahawan dengan menyediakan warung. Begitu juga pokok harumanis boleh ditemui di mana sahaja.

Pokok pauh kegemaran ramai itu agak renek, sekarang sudah berbunga. Dua atau tiga bulan lagi buahnya akan dituai. Sekali lagi melimpah rezeki buat rakyat Perlis.

Angin Monsun Timur Laut disebut juga sebagai ‘winter wind’ membolehkan harumanis membiak subur. Angin tropika bertiup di Perlis bermula Disember sehingga Mac setiap tahun.

Kedudukannya hampir dengan garis lintang membolehkan Perlis menerima tempias ‘winter wind’. Ia jarang ditemui di negeri-negeri lain di Malaysia. Situasi tersebut berlaku ketika hemisfera selatan bumi paling condong ke arah matahari.

Musim ‘winter wind’ meniup angin sopoi-sopoi bahasa. Ketika matahari tegak di kepala pun, badan masih terasa nyawan. Inilah kelainan yang terdapat di bumi Perlis.

Ternyata impian Menteri Besar untuk melihat 3.5 juta pelancong bertandang ke Perlis tahun ini tidak sukar dicapai.

Kelebihan panorama alam dengan sawah padi yang sayup mata memandang dan bukit batu kapur cukup mempersonakan menjadi taruhan.

Kata orang utara, sekali datang ke Perlis hendak datang lagi. Betul lah kata Cikgu Shukri yang sekarang bergelar menteri besar. – HARAKAHDAILY 29/1/2024

- Advertisement -