Mengamati perbualan si ayah di dalam al-Quran

- Advertisement -

Pernahkah para amilin sekalian merenung sejenak dan mengingatkan kembali, berapa kalikah mereka duduk bersama anak-anak, dan berbual dengan mereka secara mendalam tentang kehidupan yang dilalui? Persoalan sedemikian sengaja ditimbulkan supaya para petugas parti tahu betapa si anak juga memerlukan persekitaran yang baik, perhatian dan kasih sayang seorang ayah. 

- Advertisement -

Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang mengungkapkan perbualan antara si ayah; iaitu sama ada individu tertentu atau para anbiya’ a.s. dengan anak-anak mereka. Unsur-unsur yang terkandung di dalam pengucapan mereka adalah seperti berikut:
i. Seruan keimanan;
ii. Nasihat kebaikan;
iii. Peringatan kewaspadaan
iv, Amaran siksaan. 

Walau bagaimanapun, apabila diamati secara keseluruhannya, maka didapati bahawa semua sapaan atau panggilan anak-anak mereka itu mengarahkan sifat kasih sayang seorang ayah – Ya bunayya – panggilan yang bermaksud “Wahai anak kesayanganku”. 

Antara isi kata-kata si ayah yang memiliki sifat kerangkuman kehidupan adalah nasihat Luqman kepada anaknya. Kandungan nasihat beliau meliputi hal keimanan, ibadah, akhlak serta hubungan sosial masyarakat. Meskipun begitu, Luqman tetap menjadikan faktor aqidah sebagai perkara pokok yang mesti diutamakan dalam memberi kefahaman keimanan kepada anaknya.

Firman Allah maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar”. (Luqman: 13)

Di dalam hal memberi nasihat, si ayah yang bijak tidak hanya pandai memberi arahan semata-mata, tetapi menggunakan kebijaksanaannya, atau teknik pengucapan yang beradab untuk mendapatkan pandangan dari si anak. Luahan pandangan si anak itu sebenarnya dapat memberikan kelegaan kepada si anak, malah sorotan pendangan tersebut akan menggambarkan sifat keterbukaan si ayah. Lantaran itu, si anak akan merasa lebih selesa dan santai sewaktu memberi respons terhadap apa-apa perkara yang dibangkitkan oleh si ayah.

Hal sedemikian dapat dilihat dalam pertanyaan Nabi Ibrahim kepada anaknya, Nabi Ismail.

Firman Allah maksudnya: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan ia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaa’llah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Saffat: 102)

Dari sudut lain pula, terdapat pengucapan yang mendorong anak-anak supaya bersikap waspada tentang keselamatan diri. Sikap waspada atau berhati-hati adalah sesuatu yang kekal relevan sepanjang hayat ke atas semua individu. Peringatan berkenaan tidak terbatas kepada keselamatan diri, malah ia melangkaui hal keselamatan keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Hal kewaspadaan ini dapat dirujuk didalam peringatan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya ketika mereka merancang untuk memasuki negeri Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan akibat musim kemarau panjang.

Firman Allah bermaksud: “Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlain-lain; Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkanmu dari takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah, kepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Yusuf: 67) 

Al-Quran telah merakamkan bagaimana si ayah memberi amaran tentang azab siksaan kepada si anak yang engkar serta kufur akan Allah. Nasihat seumpama ini hendaklah menjadi peringatan kepada semua amilin, dan menjadi tanggungjawab untuk memperingati anak-anak mereka supaya menjauhi kemaksiatan. Bahkan ucapan sedemikian juga menjadi pendinding serta gambaran usaha si ayah untuk menegak makruf dan mencegah kemungkaran di dalam kalangan ahli keluarganya.

Kata-kata inilah yang dikalamkan oleh Nabi Nuh a.s kepada anaknya bernama Kan’an yang derhaka.

Firman Allah bermaksud: “(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung- ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang kafir; anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihi olehNya”. Dan dengan serta merta ombak itupun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan”. (Hud: 42-43)

Justeru, pengucapan si ayah di dalam al-Quran memberi faedah kepada ayah-ayah di luar sana termasuklah para amilin. Berikanlah sedikit ruang semasa cuti persekolahan ini untuk bersama anak-anak dan  keluarga supaya rasa kasih semakin menebal dan akrab. 

Ingatlah bahawa semua intipati kata-kata si ayah di dalam al-Quran, akhirnya menjurus ke arah ketauhidan dan keimanan kepada Allah. Dari keimanan itulah akan menjalar ke akar ibadah dan akhlak; dan perkara yang paling mustahak adalah mewaris atau mewasiatkan anak-anak supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai mana wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub berpesan kepada anak-anak mereka. 

Firman Allah bermaksud: “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir Ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah sesudah aku mati?”. Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”. (al-Baqarah: 132-133)

Oleh DR. AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
AJK Lajnah Tarbiyah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/1/2024

- Advertisement -