Perjuangan Mat Kilau, Tok Gajah, Pendekar Awang

- Advertisement -

Jihad orang Melayu menentang penjajah British

FILEM adalah mesin propaganda yang ampuh dalam membina naratif hitam dan putih terhadap sesuatu isu atau pengkisahan sejarah, filem adalah polaraid yang mampu  menyelitkan kurikulum tersembunyi serta menyampaikan mesej dengan berkesan kepada khalayak. Memahami betapa efektifnya filem dalam membentuk gaya dan pola pemikiran manusia maka kelompok Yahudi berusaha untuk menguasai industri perfileman Hollywood serta mengembangkan bidak catur mereka di seluruh dunia.

- Advertisement -

Sejak seminggu dua  ini tanah leluhur ini geger gegak dengan tayangan filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebagai sekuel filem fenomena epik Mat Kilat: Kebangkitan Pahlawan diulas dengan meluas  dengan pelbagai pandang sisi oleh netizen, juga media arus perdana bahkan melibatkan  pelbagai kelompok yang rencam.

Menurut pengatur tayangan ini, Saudara Hilmi Ismail, seolah-olah serangan terancang kepada filem epik ini, sehingga ada yang memberikan markah 1/10. Saya diberikan peluang untuk menghadiri  tayangan khas  filem  ini bersama pimpinan  negeri, penggiat seni dan budaya serta jaringan sivil negeri Terengganu kelmarin bertempat di Paya Bunga Sentral.

Bukan perkara baru, filem dijadikan alat untuk membugar semangat patriotisme, menegaskan jati diri dan bercermin dengan sejarah. Jangan lupa lakonan Anthony Quin sebagai Sheikh Omar Mokhtar dalam The Lion Of The Desert, filem perjuangan ulama besar Libya yang berjuang menentang penjajah Itali sehingga syahid di tali gantung. Kerajaan Libya memperuntukkan USD26 juta untuk menjadikan filem epik ini menjadi buah mulut di seluruh dunia.

Anak cucu cicit Khilafah Uthmaniah tak mengalah untuk mempromosikan sosok penting perjuangan mereka, 600 tahun memayungi bumi umat Islam bukanlah tempoh yang singkat. Filem Feith 1453 telah menjadikan generasi muda Turki membusung bangga dengan Sultan Muhammad Alfateh, sang penakluk kota Konstantinople. Filem yang menjadikan menonton meremang bulu roma, merasa akar kekuatan utama ialah akidah Islam kepada bangsa Turki sehingga mampu menguasai dunia.

Negara jiran kita, sarat dan lumayan dengan kisah-kisah tokoh perjuangan menentang penjajah, kisah sosok yang berjuang untuk memandaikan bangsa, filem bernuansa perang melawan imperialisme yang digerakkan oleh para alim ulama. Antara filem epik yang meluruskan sejarah ialah Fatahillah, menjulang kisah benar perjuangan ulama dari Indonesia

Fatahillah mengisahkan tentang tokoh ulama serta pendukungnya yang berjuang melawan penjajah  Portugis. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ulama ini kemudiannya mendirikan Jayakarta atau Kota Jakarta yang menjadi ibu negara Indonesia sekarang. Menarik untuk diketahui oleh generasi muda Islam bahawa Jakarta berawal dengan roh perjuangan ulama. Almarhum Kiai Rahmat Abdullah sering mengingatkan bangsa Indonesia akan hakikat ini.

Filem Mat Kilau adalah filem pertama negara ini yang dihasilkan dengan berani meletakkan British sebagai penjajah yang kejam, zalim, pelit dan berselingkuh dengan kelompok aristokrat Melayu. Sebelum ini filem Sarjan Hassan, Paloh dan Leftenan Adnan menjadikan Jepun sebagai sasaran kebencian penonton. Filem Pendekar Awang adalah penerusan babak penentangan orang Melayu Pahang mendobrak tirani penjajah termasuk bukti emperikal di Kampung Budu yang terletak di Kuala Lipis . Pembantaian British sehingga kini meninggalkan kawasan perkuburan besar, 300 orang Melayu yang mati dibunuh askar penjajah.

Perjuangan Mat Kilau meliputi banyak pihak dan jaringan yang besar, perluasan pengaruh British ke Pahang pada tahun 1888 telah menimbulkan kemarahan pembesar Melayu yang membawa kepada pemberontakan pada tahun 1891.

Antara kebangkitan yang dirakamkan ialah serangan ke atas polis British di Lubuk Terua oleh Dato’ Bahaman, Orang Kaya Pahlawan Indera Semantan. Perlawanan  ini turut melibatkan Tok Gajah (Imam Perang Rasul) iaitu ayahanda Mat Kilau dan Mat Kilau sendiri. Berlakunya serangan pahlawan Pahang ini  ke atas Kuala Lipis pada 1892.

Walau bagaimanapun, pemberontakan ini gagal atas pelbagai faktor dalaman dan luaran untuk menghalau British. Pejuang-pejuag Pahang ini terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyokong Dato’ Bahaman tetapi terpaksa menghantar tentera menyokong British kerana tekanan penjajah itu. Bahkan, Sultan Pahang diberitakan pernah menghubungi Kerajaan Uthmaniyyah untuk meminta bantuan. Filem Pendekar Awang cuba membawa penonton kepada jaringan antarabangsa apabila babak di Kota Makkah, Sheikh Wan Ahmad al Fathoni berbincang dengan anak-anak muridnya termasuk Tuan Guru Haji Hasan Bin Munas (Tok Janggut) tentang kewajiban jihad menentang Inggeris. Sheikh Wan Ahmad menerangkan kondisi Khilafah Uthmaniah yang semakin lemah, tak mampu menghantar bantuan kepada perjuangan umat Islam di Pahang.

Di Kelantan, pejuang-pejuang Pahang ini telah diselamatkan oleh Sultan Mansur Shah, manakala di Terengganu oleh Sultan Zainal Abidin III dan penasihat Sultan Terengganu iatu Tok Ku Paloh. Di Kelantan mereka hanya berlindung sementara bergerak ke Terengganu kerana dikehendaki oleh pihak British. Semasa di Terengganu, pejuang-pejuang Pahang dilindungi sepenuhnya oleh Tok Ku Paloh, ulama yang berketurunan Rasulullah SAW (lapis ke 32). Pejuang Pahang ini pernah berlindung di pondok Rusila Marang. Pada tahun 1894, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau menghubungi Tok Ku Paloh untuk meminta perlindungan dibenarkan tinggal di Paloh di bawah perlindungan Tok Ku Paloh. Ulama besar Terengganu ini terkenal dengan kebenciannya kepada penjajah British, bahkan selepas kematian beliau, barulah Inggeris boleh campur tangan di Terengganu.

Di Paloh, mereka diberikan didikan agama dan mendapat seruan jihad daripada Tok Ku Paloh. Jang Aishah mengatakan telah berlaku ikatan yang menentukan partisipasti lebih kuat bermotifkan agama kerana seorang tokoh dari elite religious (Tok Ku Paloh). Tok Ku Paloh mengarahkan supaya pejuang Pahang melancarkan seruan jihad ke atas British dengan memberikan bantuan melalui wirid-wirid dan senjata. Di Terengganu, pejuang-pejuang Pahang ini mendapat inspirasi dan kekuatan semula untuk bangkit melawan penjajah British.

Pada Jun 1894, para pejuang Pahang dengan semangat jihad dan perang sabil ke atas balai polis Kuala Tembeling dan seterusnya berjaya menawan Kubu Jeram Ampai selama empat bulan. Namun beberapa serangan balas British telah memaksa mereka sekali lagi berundur ke Terengganu dan Kelantan. Pejuang ini menyusuri kawasan Pasir Raja Hulu Dungun, Hulu Terengganu termasuk Jenagor dan Kenyir untuk mengelakkan pemburuan British dan juga pengkhianat di kalangan orang Melayu.

Dalam filem Pendekar Awang, tugasan beliau ialah untuk memastikan Tok Gajah dapat ke Terengganu untuk berhubung dengan Tok Ku Paloh, cabarannya sangat getir kerana pengkhianatan segelintir orang Melayu sendiri, juga jurang teknologi dengan tentera penjajah.

Ayahanda Mat Kilau, Tok Gajah telah meninggal dunia di Terengganu, manakala yang lain berusaha mendapatkan perlindungan Tok Ku Paloh pada November 1894, sebelum mereka dibenarkan tinggal di Kemia pada 1895 dan dipindahkan ke Paloh kemudiannya. Serangan jihad pejuang Pahang ke atas Kuala Tembeling pada 1894 memberi kesan yang buruk ke atas British dan kemenangan moral kepada pejuang. Penjajah bertindak agresif sehingga tindakan memburu ketiga-tiga pahlawan tersebut digerakkan dengan lebih serius.

Bagi memburu para pejuang itu, Residen British di Pahang telah pergi ke Terengganu untuk mengesan pejuang Pahang. Hugh Clifford bergerak bersama 250 orang tentera ke Terengganu pada bulan April 1895 dan berjaya mendapat surat kuasa daripada Sultan Terengganu untuk menyiasat sesiapa yang melindungi pejuang Pahang. Sultan Terengganu walau bagaimanapun tidak memberi izin penyiasatan ke atas kerabat istana, keluarga Syed dan pembesar negeri. Clifford walau bagaimanapun pernah menyiasat Tok Ku Paloh namun tidak mendapat kerjasama kerana Tok Ku Paloh mengatakan penjahat sebenar ialah British, bukan Dato’ Bahaman atau Mat Kilau. Clifford juga cuba mempengaruhi sultan bagi memaksa Tok Ku Paloh menyerahkan orang-orang Pahang, tetapi usaha ini juga gagal menangkap pejuang-pejuang Pahang.

Clifford menjelaskan: I’m not in least surprised by the Sultan of Terengganu’s unsatisfactory conduct. He and all his people live in the superstitious awe of the powers of his uncle, the Mullah, Ungku Saiyid Kramat, who practically rules the state.

Mat Kilau dan pejuang Pahang yang lain telah dilindungi di Terengganu dalam perjuangan mereka bangkit melawan penjajah. Kanvas perjuangan ini telah diangkat menjadi filem epik terbaik setakat ini yang pernah dihasilkan. Filem Pendekar Awang memang tak mampu mengejar populariti filem Mat Kilau, namun keseriusan mengangkat martabat jihad pejuang Islam alam Melayu wajib kita sokong dan dukung.

Saya mencadangkan selepas ini sambungan filem ini dibuat dengan latar perjuangan Tok Ku Paloh, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Sarekat Islam Terengganu bagi melengkapkan trilogi filem epik Mat Kilau. Syabas Kembara Studio dan tim, paling kurang fenomena Mat Kilau juga Pendekar Awang akan membuka mata  untuk masyarakat melihat sejarah perjuangan ulama dan golongan agamawan, bermandi darah dan keringat mendobrak kezaliman penjajah. Tahniah juga kepada Shahruddin Dali dan tim, Kembara Studio dan penggiat seni Islami. Teruskan berkarya untuk ummah! – HARAKAHDAILY 25/1/2024

Penulis ialah AJK PAS Pusat, pengerusi LESTARI.

- Advertisement -