‘Kritikan itu juga nampaknya adalah satu impak’ – Afnan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang dilantikan selaku Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) hingga perkara itu diulas dua profesor menyifatkan kritikan mereka sebagai satu impak.

Ahli Parlimen Alor Setar itu juga malah merakamkan penghargaan terima kasih atas kritikan kedua-dua profesor dari dua universiti awam tersebut terhadap hal yang dinyatakan sebagai ‘tiada impak besar’ itu.

“Saya tidak pernah minta untuk dilantik atau berusaha untuk mohon dilantik (ke jawatan itu). Tugas ini diakui tidak mudah. Namun apabila pimpinan membuat keputusan, ianya dipatuhi dan ditaati. Tugas ini akan dipikul sebaik mungkin. 

“Pendekatan yang sedia ada sekarang terbukti diterima oleh para pengundi muda ketika PRU15 dan PRN yang lalu. Kami akan terus perkemaskan dan lipat gandakan usaha untuk terus mendekati pengundi muda yang tetap setia bersama perjuangan ini,” ujarnya.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pelantikan Afnan tidak memberi impak besar kepada sokongan rakyat termasuk pengundi muda kepada PN pada masa depan.

Beliau turut menyifatkan pelantikan itu perkara biasa dan tidak mampu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai anak muda menyokong PN dalam pilihan raya akan datang, selain Afnan dikatakan tidak dikenali rakyat.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali pula menyifatkan Afnan perlu mengamalkan pendekatan sederhana dan berhemah. 

- Advertisement -

Menurutnya, Afnan perlu bersikap profesional walaupun berwatak ulamak dan mengamalkan pendekatan seperti Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan tidak bersikap ekstremis. 

Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengumumkan pelantikan Afnan ke jawatan itu menggantikan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkuatkuasa 20 Januari baru-baru ini. 

Afnan yang sebelum ini merupakan Setiausaha Pemuda PN menyifatkan anak muda masa kini begitu beradaptasi dengan perubahan terutama secara progresif dengan teknologi kemajuan dunia.

Katanya, anak muda hari ini sukar ditipu kerana boleh meneliti dan menggali maklumat, selain sukar dibutakan dengan sentimen kerana logik mereka mampu mematahkan hujah yang mengelirukan. 

Pun begitu, beliau mahu anak muda memiliki pendirian dan prinsip hidup yang benar agar tidak dipergunakan oleh pihak berkepentingan dan para pemikir songsang yang menyuntik jarum mempengaruhi minda. 

Beliau akui teruja melihat anak muda menceburi diri dalam pelbagai bidang dengan kompetensi dan kemahiran serta memiliki keghairahan mencipta masa depan yang penuh motivasi, selain peka kepada dunianya dan isu semasa.

Afnan sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila mencipta sejarah memenangi Parlimen Alor Setar yang merupakan kerusi dalam bandar di mana sejak merdeka didominasi calon parti pemerintah dan juga bukan-Melayu.

Kedua-dua profesor tersebut pula dalam rekod pandangan politik mereka terkenal berat sebelah dan berpihak, namun banyak analisis dan ramalan mereka tersasar dari keputusan sebenar yang dicapai. – HARAKAHDAILY 24/1/2024

- Advertisement -