Ringgit jatuh teruk, kesan kepada ekonomi negara dan rakyat

Lagi bukti kegagalan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nilai Ringgit Malaysia (RM) jatuh kepada 4.728 berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) yang merupakan paras terendah dalam 26 tahun menjadi bukti terbaru kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jika situasi tersebut berlaku kepada kerajaan-kerajaan sebelum ini, sudah pasti mereka yang kononnya ‘Pakar Formula Ekonomi’ dan ‘Pakar Reformasi’ akan menjadi ‘hero’.

Beliau turut mengimbas soalannya mengenai langkah kerajaan untuk menangani masalah matawang Ringgit yang semakin melemah kepada Menteri Kewangan semasa Persidangan Dewan Rakyat pada Mac tahun lalu.

Namun kesalinya, jawapan diberikan Dato’ Seri Anwar sangat mengecewakan, malah soalan tambahan beliau mengenai perancangan kerajaan menghadapi cabaran ke atas Ringgit juga gagal dijawab Perdana Menteri itu.

- Advertisement -

Anwar ketika menjawab soalan tersebut bahkan terlalu yakin Malaysia akan mendapat tarikan berikutan AWS Amazon bersetuju menjadikan negara ini sebagai tapak operasi dan dalam nada penafian menyatakan Ringgit masih bertahan, malah lebih baik berbanding matawang lain.

Amzad turut menempelak unjuran Anwar untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencapai 4 hingga 5 peratus, tetapi cuma berkembang pada kadar 3.8 peratus sebagaimana data terkini dikeluarkan Ketua Perangkawan Malaysia.

Beliau malah bimbang kuasa beli rakyat melibatkan semua lapisan masyarakat akan semakin terjejas berikutan tahun ini juga pengguna akan berdepan kenaikan cukai dan pengenalan beberapa cukai baharu.

“Sudah menjadi kebiasaan saya membeli sendiri barang dapur di pasar rakyat atau kedai kedai runcit di kampung. Bawang, tepung, gula, minyak masak, pelbagai sos, kicap dan kebanyakan barangan pengguna naik harga. 

“Kalau zaman Dato’ Sri Najib (Razak), pernah dibidas ‘kangkung pun naik harga’, (tetapi) sekarang lebih teruk lagi. Walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa apa-apa makna. 

“Kerana kos sara hidup tidak menurun, sebaliknya ia kenaikan harga semakin menjadi-jadi. Tapi bak kata Menteri Ekonomi, bukan semua rakyat Malaysia shopping di New York!” sindir beliau.

Amzad berpandangan, peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan melemahkan permintaan terhadap Ringgit, selain menyebabkan kejatuhan berterusan, sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi.

“Secara amnya yang akan mendorong kenaikan kos import, kenaikan harga barangan pengguna. Inflasi meningkat, kadar upah yang tidak menarik kehadiran pekerja asing,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -