Masjid, surau berdaftar JHEAT tiada caj tarif air

Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tarif baharu kategori pengguna domestik dan bukan domestik di Terengganu naik sebanyak 16 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari ini.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut berkata, kadar tarif baharu itu termasuk caj elektrik yang dikenakan sebanyak 8 sen setiap meter padu.

Menurut beliau, caj elektrik melibatkan kos operasi sebelum ini ditanggung sepenuhnya SATU, namun bayaran tersebut akan dibahagi sama rata antara syarikat dan pengguna.

“Kegunaan domestik bagi bacaan meter 0 hingga 20 meter padu akan mengalami kenaikan daripada 42 sen kepada 58 sen.

“Selain itu, bagi bacaan meter melebihi 20 meter padu hingga 35 meter padu pula ditetapkan kadar baharu ialah 83 sen berbanding 65 sen sebelum ini.

“Bagi penggunaan melebihi 35 meter padu pula, kadar caj baharu ialah RM1.08 bagi setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini,” katanya pada sidang media pelarasan tarif air Terengganu di sini, hari ini.

Abdul Karim Endut

Kata beliau juga bagi domestik pukal pula, caj minimum akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak lapan sen kepada RM1.08 sen bagi penggunaan setiap meter padu.

Selain itu, perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik akan melibatkan peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

Tambah beliau, bagi penggunaan lebih dari 35 meter padu akan dikenakan caj RM1.48 bagi setiap meter padu.

Abdul Karim juga berkata bagi kategori khas melibatkan surau dan masjid, rumah ibadat, institusi kebajikan serta perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.

Bagaimanapun katanya, bagi masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT), tiada caj dikenakan.

“Program subsidi air percuma melibatkan 20 meter padu akan diteruskan kepada golongan B40 yang layak termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.

“Ia melibatkan 13,715 akaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta setahun,” ujar beliau.

Sehubungan itu kata beliau SATU menggalakkan pengguna B40 yang layak untuk memohon bantuan 20 meter padu percuma tersebut. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -