DHPP sebagai platform utama masyarakat bukan Islam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat membuka tirai 2024 dengan mengadakan pemukiman selama dua hari di Sumai Hotel, di sini.

- Advertisement -

Pengarah program, Dr. Balachandran ketika ditemui berkata, dinamika politik mutakhir ini mendesak untuk pihaknya nampak lebih segar dan dilihat mampu menjadi suara kepada kaum lain untuk terus relevan di arus massa.

“DHPP menyedari peranan untuk menyantuni masyarakat bukan Islam bagi mewakili PAS sebuah parti yang membawa perjuangan Islam tidaklah semudah disangkakan.

“Namun kami cuba berusaha untuk menjadikan DHPP sebagai platform utama masyakat bukan Islam serta menepis dakwaan bahawa hanya DAP sahaja yang mampu membela masyarakat bukan Islam di negara ini.

“DHPP juga menyedari kini, landskap politik negara banyak dipengaruhi oleh paparan media sosial. Oleh yang demikian DHPP harus memanfaatkan platform media sosial yang ada untuk memberi gambaran sebenar bahawa DHPP adalah juara bagi mewakili kaum bukan Islam,” katanya yang juga Ketua Penerangan DHPP Pusat.

Program yang disertai 52 pemimpin DHPP itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Manakala majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Sementara itu, Amzad memberitahu bahawa tumpuan dalam retreat PAS Pusat baru-baru ini adalah untuk menjayakan konsep ‘PAS For All’.

“DHPP berperanan dalam memberi penerangan kepada bukan Islam supaya tidak berlakunya apa yang dikatakan sebagai islamofobia yang menjadi punca sokongan masyakarat bukan Melayu terhadap Perikatan Nasional masih kurang.

“Negara yang ingin dibina perlu mengambil kira aspirasi seluruh masyarakat, kita mahu DHPP mempelbagaikan pendekatan agar masyarakat nampak peranan yang dimainkan oleh mereka,” katanya.

Hadir sama Ketua DHPP Pusat, N.Balasubramaniam dan timbalannya, Lim Guan Seng. – HARAKAHDAILY 21/1/2024

- Advertisement -