Terengganu rai semua penggerak sekuriti makanan

- Advertisement -

MARANG: Terengganu meraikan semua penggerak sekuriti makanan sama ada dari pelabur besar yang datang dengan modal berjuta-juta ringgit atau rakyat tempatan yang mengusahakan projek berskala kecil dan sederhana.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, semuanya dikolaborasikan untuk membentuk satu matlamat besar menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan.

“Bermula tahun ini insya-Allah kalendar pertanian kita hampir nak membuka tirai dengan amanat pada 1 Fabuari, selepas daripada itu kita akan bergerak berdasarkan kalendar tahunan yang sudah sedia dirancang untuk tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek sekuriti makanan dari sektor perikanan akuakultur udang Pristine Aquaculture di tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) milik kerajaan negeri di Bukit Gasing dan ternakan tiram di Sungai Merchang.

Mengulas lanjut beliau berkata, Sungai Merchang merupakan satu kawasan yang sangat unik dengan ekosistem dan sesuai untuk kehidupan tiram.

Kata beliau, bantuan sangkar dan saranan untuk melatakkan tiram pada tali dan raga sekali gus membuahkan hasil dalam pembiakan haiwan berkenaan.

“Jadi bila kita letak tali pada tiram, tiram akan datang. Usaha ini bukan satu usaha yang baru. Ia telah berlanjutan sejak tiga generasi yang lalu,” katanya.

Ujarnya lagi, ekosistem sungai Merchang juga dilihat semakin membaik selepas kerajaan menyelesaikan masalah muara.

“Aliran air masuk dan keluar pun sudah berjalan dengan lancar. Jadi beberapa isu dan permasalahan disebabkan oleh masalah muara, alhamdulillah sudah semakin menuju kepada jalan penyelesaian,” katanya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi berkata, bagi projek ternakan udang Pristine Aquaculture di tanah seluas lima ekar di Bukit Gasing pula diusahakan oleh anak Melayu tempatan.

“Anak Melayu tempatan kita mengusahakan ternakan udang putih dan udang harimau dengan kapasiti pengeluaran sekitar 5 hingga 6 tan satu pusingan,” katanya.

Kata beliau, hasil usaha rakyat itu dipermudah cara oleh kerajaan negeri sama ada melalui jabatan perikanan atau melalui jabatan pertanian.

“Kita permudah cara dari segi penggunaan tanah, kelengkapan dan peralatan,” katanya ketika ditemui, di Merchang. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -