Pegang kedua-dua ini selamat dunia, akhirat

- Advertisement -

Bila kita berjalan di atas muka bumi bawa kereta lalu atas jalan raya kita akan jumpa dengan banyak tanda-tanda di sepanjang perjalanan. Ada tanda lampu isyarat, ada selekoh tajam, ada amaran laju, ada simpang tiga, simpang empat, ada garisan berkembar, tidak boleh melintas. Semua tanda-tanda dan isyarat sama ada yang pasangnya sama ada JKR, majlis daerah, JPJ dan sesiapa pun tujuan hanya satu supaya kita selamat dalam perjalanan dan sampai ke destinasi kita dan orang lain pun selamat.

- Advertisement -

Kita keluar dari simpang Kampung Bahagia ini, akan ada papan tanda, Kuala Terengganu ke kiri dan Jerteh, Kota Bharu ke kanan. Itu tanda arah. Jika kita mahu ke Kuala Terengganu, kita pusing ke kanan, kita takkan sampai ke Kuala Terengganu. Itu baru perjalanan atas dunia. Bila kita tidak ikut tanda arah, tidak akan selamat dan tidak akan tiba ke destinasi

Bagaimana pula perjalanan ke negeri akhirat. Tentu sekali kita perlukan panduan tanda arah dan ia ada di dalam al-Quran. Kerana itulah al-Quran disebut dengan pelbagai nama antaranya al-Quran, Furqan, Hudan, Nurrun. Semua ini ada makna-makna yang tersendiri, menggambarkan bagaimana ianya sangat sempurna, luas dan ia adalah khazanah ilmu kita.

Saya tertarik dengan satu kajian bila orientalis barat cuba menafikan satu fakta di dalam al-Quran: “Dialah Allah, Tuhan yang menurunkan hujan daripada langit dengan kadar dan hujan yang turun ini menghidupkan bumi yang telah mati.”

Maksud air hujan yang turun daripada langit dengan kadar bermakna jumlah air hujan yang turun dari langit ke bumi setiap tahun kadar adalah sama. Tahun 50-an sama dengan 70-an, sama dengan 2020. Kalau sekiranya jumlah hujan yang turun ini tidak sama setiap tahun, kitaran air akan jadi tidak seimbang sebab yang naik dan turun tidak sama.

NASA cuba menafikan fakta ini. Apa yang dinyatakan dalam al-Quran mereka buat kajian daripada tahun 2000 seminggu tahun 2006 dan akhirnya mendapati fakta yang dinyatakan dalam al-Quran adalah sangat tepat, jumlah hujan yang turun atas muka bumi ini adalah sama cuma yang membezakan ialah di mana ia turun dan bila dia turun. Dalam tempoh setahun dia campurkan jumlah lebih kurang 3.6 trilion tan setiap tahun.

Jadi kalau dikaji fakta-fakta yang ada di dalam al-Quran kita akan tengok betapa ia sebenarnya mari daripada Pencipta alam maya ini. Yang mengetahui segenap rahsia dan penciptaan Allah juga merupakan Tuhan yang menurunkan al-Quran.

Kita sekarang ini terlalu banyak kemudahan dalam telefon, tekan-tekan keluar al-Quran, yang kecil muat poket pun ada, tok imam yang lebar sedepa pun ada.

Di zaman Saidina Abu Bakar As-siddiq RA menjadi khalifah berdepan dengan dua tugas besar. Yang pertama orang-orang yang murtad dan yang ramai kerana menjadi pengikut nabi palsu, Musailamah Al Kazzab daripada negeri Yayamah, bukan calang-calang, siap dengan puluhan ribu tentera nak lawan kerajaan Islam dan Abu Bakar mempersiapkan pasukan tentera berlaku perang di antara orang Islam dengan tentera Musailamah.

Dalam perang itu, sahabat Nabi yang hafal Al-Quran ini berjuang di saf depan dan ramai daripada mereka gugur syahid. Jadi Khalifah Abu Bakar bimbang kalaulah penghafal Al-Quran ini berterusan syahid sedangkan ketika itu Al-Quran tidak ada dalam bentuk mashaf, tidak dibukukan hanya ada dalam dada para penghafal bimbang Al-Quran ini hilang. Ketika itu dia tulis di belulang unta, kambing, lembaran-lembaran yang terpisah lalu Saidina Abu Bakar memanggil Zaid bin Sabit RA untuk beri satu kerja besar iaitu kumpulkan Al-Quran 30 juzuk, 114 surah, lebih 6,000 ayat ini dikumpulkan menjadi satu mashaf dan beratnya kerja ini sehingga sahabat nabi yang diamanahkan oleh Khalifah Abu Bakar untuk mengumpulkan berkata mengalihkan Bukit Uhud yang besar itu diletakkan di tempat lain lebih ringan daripada kerja kumpul Al-Quran sedangkan di zaman itu tiada lori, excavator, nak menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab mengumpulkan Al-Quran.

Tetapi sahabat Nabi bekerja dengan tekun dalam tempoh masa yang sangat singkat berjaya mengumpulkan Al-Quran tanpa tersilap walau satu huruf.

Mari kepada kita dengan segala kemudahan macam-macam bentuk Al-Quran ada tinggal hanya sama ada kita nak jadikan Al-Quran ini sebagai nur yang menyuluh perjalanan hidup kita dan petunjuk sepanjang jalan.

As-Syahid Sayyid Qutb dia tulis dalam buku dia ada satu bab menceritakan generasi al-Quran yang unik. Tajuk tulisannya semasa dia berada di dalam penjara. Dipenjarakan oleh Presiden Gamal Abdel Nasser di Mesir. Dia mengatakan generasi Al-Quran daripada kalangan sahabat-sahabat Nabi SAW, kamu lihat mereka berjalan di atas muka bumi sama sebagai manusia biasa, jalan, pergi ke pasar, pelihara kambing, ke kebun tapi mengalir dalam darah mereka darah-darah dari al-Quran dan mereka inilah generasi al-Quran. Menggambarkan generasi sahabat Nabi generasi al-Quran ini dengan satu susunan bahasa yang sangat menarik. Ini kelebihan As-Syahid Sayyid Qutb bukan sahaja ulama’ tapi sasterawan yang bila menyusun bahasa dan tulisannya sangat menarik. Lebih menarik ditulis semasa dipenjara menceritakan bagaimana hebatnya generasi Al-Quran yang dibimbing oleh Nabi SAW.

Tilawah yang dibuat ini moga menjadi pemangkin, menjadikan kita ini umat Nabi yang mencintai Al-Quran bukan setakat kita nak baca dengan bacaan yang betul dari segi hukum tajwid dalam masa yang sama kita tadabbur makna dan maksud dia kerana ini adalah risalah Allah yang dikirim melalui perantaraan Nabi SAW untuk dijadikan panduan bagi kita sehingga kepada hari kiamat.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan untuk kamu dua pusaka dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, Kitab Allah dan sunnahku”.

Pegang kedua-dua ini insya-Allah kita akan selamat dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

Tulisan di atas adalah petikan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1445/2024 di Masjid Kampung Bahagia, 17 Januari lalu.

- Advertisement -