Kenaikan tarif air perlu seiring peningkatan kualiti

Izizam Ibrahim
- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim, menyatakan kenaikan kadar tarif air yang diumumkan harus diiringi dengan peningkatan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

- Advertisement -

Beliau menegaskan perlunya peningkatan sistem air, termasuk pembaikan paip bagi memastikan kualiti air setara dengan kenaikan tarif yang telah diumumkan.

“Ia bukan sahaja tentang kenaikan kadar, tetapi dari segi sistem air kita juga perlu mengalami peningkatan.

Jangan ada persepsi bahawa tarif naik tetapi kualiti perkhidmatan tetap sama,” katanya.

Pada masa yang sama, Izizam berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk mendapatkan geran khas bagi penambahbaikan sistem air di negeri itu.

Beliau turut berusaha untuk mendapatkan peruntukan khas bernilai ratus juta bagi meningkatkan infrastruktur air.

“Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan khas yang diperlukan, dan kita akan umumkan jumlah yang lebih tepat dalam masa terdekat,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa pada 1 Februari ini, melibatkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Mengulas lanjut, menurut Izizam, Perlis tidak pernah menaikkan kadar tarif sejak 1991. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -