TDM Berhad bayar RM2,939,941 kepada LTAWNT

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad membayar sejumlah RM2,939,941 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, syarikat sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT.

“Keuntungan ini bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.

“Pencapaian ini turut disumbangkan oleh pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi”, katanya.

Cek bayaran perkongsian keuntungan tersebut diserahkan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @Yusof yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi TDM, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, sejurus selesai mesyuarat EXCO di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, di sini. (Foto atas)

LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Ladang Air Putih, Kemaman milik TDM Plantations Sdn Bhd (TDMP).

Ladang itu diuruskan oleh bahagian perladangan TDM iaitu TDMP menerusi usaha sama yang dimeterai oleh syarikat pada tahun 1996.

Kata Najman, syarikat juga secara strategik akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan jualan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) bagi memanfaatkan premium CSPO dan CSPK yang lebih tinggi.

“TDM akan terus mengekalkan momentum dengan memberi tumpuan penuh dalam meningkatkan kelestarian dan jangka hayat bahagian perladangan.

“Kami yakin perkara ini dapat dicapai dengan menggunakan teknik inovatif bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan keperluan tenaga buruh, sekali gus mencapai hasil jangka panjang yang maksimum,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -