Perlis usaha berdikari tingkat hasil negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Perlis sentiasa berusaha berdikari meningkatkan hasil negeri dari pelbagai sektor yang ada.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, hal itu demi mencapai cita-cita agar segala hasil mahsul negeri berupaya menampung pembangunan mengikut yang dirancangkan.

Justeru itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengadakan Majlis Perjanjian Pembiyaan Aset Tawarruq Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

“Saya mengucapkan sekalung penghargaan buat BPMB kerana memberi  ruang kerjasama bersama Syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd dalam pembiyaan melalui Aset Tawarruq ini bagi merancakkan pembangunan projek mega ini.

“Saya difahamkan, pembiyaan Aset Tawarruq ini adalah satu bentuk pembiyaan berlandaskan Islam yang ditawarkan untuk membiayai perolehan aset,” katanya pada majlis di EQ Hotel, di sini, semalam.

Menurut Mohd Shukri, negeri itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana berada di sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya yakin dengan pembinaan PIP ini akan meningkatkan lagi pergerakan kargo rentas sempadan melalui negeri Perlis dan seterusnya ke pelabuhan-pelabuhan utama tanah air.

“Kemudian akan kembali ke Perlis untuk dihantar ke Jaringan Rel Pan Asia ke Bangkok (Thailand), Vientiane (Laos) dan Kunming (China),” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Roni Abdul Wahab berkata, pihaknya mengumumkan kelulusan sebanyak RM373.54 juta untuk pembiayaan Aset Tawarruq bagi projek tersebut.

“Pembiayaan sehingga 20 tahun ini adalah untuk kos kejuruteraan, pembelian, pembinaan dan kos penyelenggaraan kemudahan pelabuhan darat.

“Pelabuhan ini juga secara strategik menyusun semula perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand, merangkumi 500 ekar tanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

- Advertisement -