Malaysia digesa gerak peranan dunia bantu Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara seantero dunia diharap bersolidariti dalam memperjuangkan kebebasan negara Palestin secara istiqamah dan proaktif serta harus sentiasa mengintai peluang untuk menamatkan perang di sana.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, Malaysia juga boleh berperanan melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

- Advertisement -

Menurutnya, Malaysia boleh menggembleng sokongan negara-negara lain terhadap gesaan gencatan senjata di Gaza dan menamatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai atau genosid yang berlaku di Palestin.

Pihaknya menyatakan sokongan penuh ke atas tindakan berani Afrika Selatan yang berusaha  mendakwa Israel dalam jenayah tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda. 

“Tindakan berani ini mendapat sokongan besar masyarakat yang memperjuangkan kemanusiaan merentasi agama dan bangsa. Afrika Selatan konsisten menunjukkan sokongan padu kepada Palestin semenjak Nelson Mandela menjadi Presiden kulit hitam pertama negara itu pada tahun 1994. 

“Sebagai sebuah negara yang pernah melalui kezaliman apartheid iaitu dasar diskriminasi terhadap orang berkulit hitam, mereka sudah tentu tidak akan menyokong mana-mana pihak yang mengulangi sejarah penindasan itu,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga memetik kata-kata Nelson Mandela ketika Hari Kebangsaan Bersama rakyat Palestin pada tahun 1997, “Sesungguhnya kami tahu, kebebasan kami tidak akan lengkap tanpa kebebasan negara Palestin”.

Oleh itu kata beliau, adalah diharapkan perjuangan Afrika Selatan mengheret Israel ke muka pengadilan antarabangsa ini mendapat sokongan dari semua negara Islam dan kemenangan berpihak kepada Palestin.

“Sesungguhnya seluruh negara yang mencintai kedamaian dan kesejahteraan dunia ini pasti tidak akan mampu lagi diam membisu melihat tindakan tidak bertamadun pengganas Zionis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

- Advertisement -