Ibu bapa sebak terima skrol diploma arwah anak

Prof Dato' Dr Zaliman menyerahkan skrol kepada bapa arwah Nur Illyana, Mustapa Awang.
- Advertisement -

ARAU: Kunjungan pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke kediaman Allahyarham Nur Illyana Hasnaa Mustapa, disambut keluarga dengan rasa penuh terharu.

- Advertisement -

Kedua ibu bapa bekas graduan UniMAP terbabit, Mustapa Awang Besar, 55, dan Noor Azira Sulaiman, 52, tidak menyangka rombongan berkenaan hadir ke rumahnya selepas mereka tidak dapat hadir Istiadat Konvokesyen 18 UniMAP pada November 2023 lalu.

“Kami sangat terharu menerima kunjungan delegasi UniMAP dan terima kasih kerana menyempurnakan tamatnya pengajian anak kami.

“Niat di hati memang ingin menghadiri istiadat tersebut namun dengan situasi kewangan dan faktor kesihatan suami terpaksalah membatalkan niat kami ke sana,” kata Azira sebaik sahaja rombongan berkenaan hadir ke rumahnya di Pasir Mas, Kelantan semalam.

Allahyarham Nur Illyana Hasnaa Mustapa, merupakan graduan Program Diploma Kejuruteraan Pembuatan, UniMAP meninggal dunia pada 17 Mei 2023 lalu sebelum majlis konvokesyen itu berlangsung.

Kata Azira, masih ternyiang-nyiang lagi di telinganya, pesanan anak kesayangannya meminta beliu dan suami hadir ke majlis graduasi itu.

“Nanti konvo Achik (Nur Illyana Hasnaa) nak bawa umi dan abah bergambar dan Achik hendak pakai baju konvo sambil pegang bunga dan teddy bear,” demikian kata si ibu antara pesanan anaknya yang masih terpahat di sanubarinya.

Nur Illyana disahkan mengidap kanser ovari tahap empat dan perlu menjalani rawatan kimoterapi, namun tidak sempat dan meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

Beliau mula jatuh sakit sejak Januari 2023 dan dikesan mempunyai ketumbuhan di ovari tetapi selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zaliman berkata arwah Nur Illyana telah menamatkan pengajian peringkat diploma Sidang Akademik 2022/2023 dan layak untuk bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen 18 lepas.

“Namun disebabkan beberapa faktor menyebabkan ibu bapanya tidak dapat hadir ke istiadat konvokesyen dan UniMAP mengambil inisiatif untuk menyerahkan sendiri skrol arwah di kediaman mereka.

“Dalam detik yang penuh kesyukuran dan juga kesedihan, kita meraikan pencapaian akademik cemerlang yang diraih oleh Allahyarhamah Nur Illyana Hasnaa dan saya berharap ia menjadi kebanggaan buat keluarganya,” jelas beliau.

Skrol diserahkan sendiri oleh beliau dan disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah; Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal, Prof. Ir. Ts. Dr Shahriman Abu Bakar dan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

Dalam majlis berasingan rombongan UniMAP menziarahi keluarga pelajar yang terjejas akibat banjir di Ketereh, Pasir Mas dan Jeli.

Sementara UniMAP juga turut menggerakkan staf untuk menyerahkan sumbangan kepada pelajar-pelajarnya di Kuala Krai dan Terengganu.

“Saya berharap sumbangan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban dan mengeratkan ukhuwah antara UniMAP dan keluarga pelajar.

“UniMAP sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar dan meminta mana-mana pelajar yang mempunyai masalah atau memerlukan bantuan untuk tampil memberi maklumat kepada pihak pengurusan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

Serahan bantuan mangsa banjir di Kuala Krai.
- Advertisement -