Cara Umar RA hadapi beberapa isu di zamannya

- Advertisement -

DISKUSI pagi tadi di Pejabat Menteri Besar Terengganu membincangkan tajuk di atas beserta sedikit topik tentang jizyah.

- Advertisement -

Kemarau panjang melanda Madinah. Beberapa pengajaran yang boleh dipetik:

1. Umar RA bersumpah tidak minum susu dan guna minyak sapi sebagai simpati kepada rakyat. Pemimpin mesti sensitif tentang derita rakyat, terutama melibatkan perkara asas seperti makanan. Di Terengganu, pentadbir negeri cakna terhadap isu rakyat. Mereka ada ‘political will’ untuk berbuat sesuatu kepada rakyat. Buktinya ditunjuk dalam pentadbiran negeri penggal lepas. Tinggal lagi kemampuan kewangan terhad negeri juga perlu diambil kira, melainkan jika mentadbir Madinah seperti Umar.

2. Hukuman hudud pencuri tidak dilaksanakan kerana tekanan hidup. Yang wajib bagi seorang mukmin beriktikad bahawa undang-undang, sistem, peraturan Allah paling baik- aqidah, ibadat, munakahat, muamalat, jinayat (jenayah). Terengganu meletakkan al-Quran, Sunnah, Ijmak ulama, Qias sebagai undang-undang tubuh negeri Terengganu ketika PAS mentadbir pada akhir tahun 1999 hingga 2004. Hingga kini ia tidak diusik. Namun, semua perlu faham kenapa undang-undang hudud tidak dapat dilaksanakan di Terengganu ialah kerana melibatkan Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan mengenai bidangkuasa kerajaan pusat dan negeri. Hukum hudud melibatkan jenayah berat di bawah bidangkuasa kerajaan persekutuan. Yang penting, usaha berterusan dibuat untuk mengembalikan Islam dalam semua aspek hidupnya ke tempat tertinggi.

3. Umar berdoa dengan bertawasulkan Ibn Abbas dalam solat Istisqa/minta hujan. Tawasul dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu. Tawasul yang tiada khilaf ialah bertawasul dengan amal soleh sendiri. Hadis dalam kitab Riadussalihin menyebut 3 orang yang terperangkap dalam gua. Masing-masing bertawasul untuk melepaskan diri dari perangkap gua. Lelaki pertama bertawasul dengan kebaikan yang dibuat terhadap ibubapa. Yang kedua bertawasul dengan sifat amanah menjaga harta yang disubur dan dikembangkan. Yang ketiga bertawasul dengan rasa takut kepada Allah ketika hampir sahaja boleh berzina. Kita boleh bertawasul dengan amal baik yang kita lakukan seharian. Tidak semestinya dari bentuk ibadat khusus sahaja, tetapi dari sesuatu kebaikan terhadap orang lain juga.

4. Umar melawat kawasan jajahan takluknya. Para penguasa, pentadbir, pegawai yang berbidangkuasa terhadap suatu kawasan perlu turun padang melihat situasi sebenar di tempat tersebut.

5. Mengenai wabak taun Amwas, juga diambil dari sabda Nabi SAW yang berpesan supaya mereka yang berada di luar kawasan wabak jangan masuk. Mereka di dalam kawasan wabak jangan keluar. Konsep kuarantin ini sudah lama diperkenalkan dalam syarak.

6. Umar ditempelak kerana tidak masuk ke kawasan dilanda wabak taun. Umar membetulkan kefahaman para sahabat itu dengan menyebut: “Ya. Kami keluar dari satu ketentuan Allah kepada ketentuan yang lain”. Dari sini, diingatkan agar kita perlu mendalami tentang aqidah, di antaranya yang berkaitan konsep qada dan qadar agar tidak tergelincir.

7. Sedikit mengenai topik jizyah, ia dibatalkan jika rakyat bukan Islam turut menjaga keamanan dan keselamatan negara. Ia juga diambil dari yang bekerja dan ada pendapatan sahaja. Ia juga diambil dalam keadaan mereka taat dan merendah diri. Keadaan yang berlaku kini apabila yang bukan Islam tidak merendah diri, bahkan ada yang cuba mencampuri urusan pentadbiran hukum syarak.

Pentadbiran Umar al-Khattab dipenuhi dengan iktibar. Tetapi yang dapat mengambilnya tentulah orang mukmin yang benar. Selain itu, hanyalah sembang besar. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -