Wujudkan garis panduan keluarga sejahtera

Zuraida Md Noor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diharap dapat mewujudkan garis panduan keluarga sejahtera di samping latihan dan kursus keibubapaan dipertingkatkan di seluruh negara.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Zuraida Md Noor berkata demikian ketika mengulas isu penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang melibatkan individu dikenali.

Beliau berkata, kanak-kanak merupakan anugerah istimewa dalam sesebuah institusi keluarga.

Malah, kata beliau, setiap kanak-kanak merupakan aset penting buat negara dan masyarakat dalam menentukan corak pembangunan negara pada masa hadapan.

“Mereka ini wajar diberikan perlindungan dan penjagaan di samping kasih sayang dan perhatian yang menjadi tunjang utama dalam sesebuah institusi keluarga,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, berita mengenai kes penderaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa dan keluarga sendiri sering dilaporkan oleh media arus perdana.

“Kajian menunjukkan setakat Ogos 2023, kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan kes tertinggi dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,603 kes.

“Antara faktor yang menjurus kepada penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.

“Tidak dinafikan, pasca Covid-19, status kesihatan mental masyarakat semakin membimbangkan.

“Ditambah dengan peningkatan kos sara hidup isi rumah membuatkan sesebuah institusi rumah tangga semakin goyah jika tidak mempunyai asas agama yang kuat serta kemahiran mengurus emosi dengan baik,” katanya.

Dalam menangani isu ini, kata Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, beberapa cadangan perlu diberi perhatian serius.

Antaranya, kata beliau, Jabatan Agama Islam di setiap negeri boleh memainkan peranan dengan menyentuh tajuk kesejahteraan rumah tangga menurut perspektif Islam melalui khutbah Jumaat dan kuliah duha di masjid-masjid.

Selain itu, beliau berkata, peranan ibu juga penting dalam memberikan perhatian kepada anak-anak walau sibuk dengan tugas di tempat kerja.

Ini kerana katanya, kesan penderaan kanak-kanak boleh berpanjangan dan akan merosakkan perkembangan mental dan fizikal mereka.

“Kanak-kanak yang didera berisiko mengalami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD), terbantut perkembangan, kurang keyakinan diri dan bersikap negatif terhadap persekitaran.

“Mereka memerlukan rawatan psikologi untuk pulih dari trauma yang dialami,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -