KUALA LUMPUR: Penggal tetap Parlimen dan penggal tetap Perdana Menteri adalah dua perkara yang berbeza di mana sistem penggal tetap Parlimen tidak semestinya bermaksud penggal tetap untuk Perdana Menteri.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan demikian dalam tulisan terkini dimuat naik di Facebook beliau.
Menurutnya, penggal tetap Parlimen dan DUN bermaksud menjadikan tempoh jangka hayat Parlimen dan DUN ditetapkan misalnya selama 5 tahun dan tidak ada ruang untuk membolehkan pembubaran lebih awal dari itu.
Kata beliau, bagi melaksanakannya, Perkara 55 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menghapuskan kuasa membubar parlimen lebih awal dari tempohnya iaitu lima tahun.
“Pindaan yang serupa juga wajar dibuat pada peringkat negeri-negeri bagi menjadikan DUN tamat pada tarikh dan tempoh yang sama dengan Parlimen,” ujar Dr Fathi dipercayai merujuk isu semasa yang timbul.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya satu RUU digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk daripada PRU bertahan atau kekal untuk satu penggal, semalam.
Presiden Umno itu mencadangkan demikian berikutan dakwaan wujudnya gerakan-gerakan aktif untuk menukar kerajaan ketika ini yang kembali menggegarkan persada politik tanahair.
Jelas Dr Muhammad Fathi, kebaikan penggal tetap Parlimen ialah dapat mewujudkan kepastian dari sudut penjadualan pilihan raya di mana Perlembagaan memperuntukkan tempoh 5 tahun bagi satu penggal.
“Idea ini telah lama diperkatakan kerana amalan pembubaran parlimen atau DUN lebih awal dari tempoh 5 tahun mendorong parti-parti politik memulakan kempen tidak rasmi terlalu awal dan pihak-pihak berkepentingan tertunggu-tunggu tarikh pilihan raya.
“Perubahan kepada sistem penggal tetap Parlimen perlu disertakan dengan sistem PRU serentak antara Parlimen dan semua DUN dengan jadual tetap bukan sahaja dapat mengendurkan budaya berpolitik yang berpanjangan.
“Bahkan dapat menjimatkan kos pengendalian PRU dan melegakan pihak-pihak yang terjejas akibat spekulasi tarikh pilihan raya,” ujar beliau turut mencadangkan penyesuaian dengan perancangan pembangunan berkala Rancangan Malaysia (RM).
Terang Dr Fathi, kebiasaannya RM mengikut penggal (01-05) dan penggal (06-10), sekali gus tarikh PRU seeloknya dibuat pada pertengahan tahun terakhir RM iaitu pada gandaan tahun (05) dan (10), misalnya tahun 2025 dan tahun 2030.
“Jika tarikh tetap pilihan raya umum ditentukan pada bulan Jun, kerajaan baharu mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk merangka perancangan 5 tahun penggal pentadbirannya,” ujarnya.
Manakala bagi penggal tetap Perdana Menteri pula bentang beliau, sukar dilaksanakan kerana sistem demokrasi berparlimen adalah berteraskan kepada kepercayaan anggota Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.
Penggal tetap Perdana Menteri ini jelas beliau, pada umumnya boleh dilaksanakan dengan meminda peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, dan beberapa peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
“Perkara 43(4) Perlembagaan menetapkan bahawa, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jika ingin menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai jawatan tetap, peruntukan ini perlu menyebut secara jelas bahawa seseorang Perdana Menteri yang dilantik akan terus memegang jawatannya sehingga tamat penggal Parlimen, melainkan jika beliau meletakkan jawatan.
“Namun pindaan kepada peruntukan ini belum memadai bagi menjamin kedudukan jawatan seseorang Perdana Menteri. Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pada dasarnya kedudukan seseorang Perdana Menteri tetap terikat kepada kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.
“Bahkan pelantikan beliau juga berteraskan penilaian Yang di-Pertuan Agong berkaitan kepercayaan yang dimiliki dalam Dewan Rakyat. Jika seseorang Perdana Menteri hilang sokongan majoriti, maka dia dianggap memimpin sebuah kerajaan minoriti.
“Dalam situasi ini beliau terdedah kepada kesulitan untuk mentadbir secara lancar dan cekap kerana segala usul yang dikemukakan oleh kerajaan di Dewan Rakyat akan berdepan dengan risiko penolakan akibat tidak mendapat sokongan majoriti.
“Bagi usul yang penting seperti usul kelulusan belanjawan tahunan, penolakan oleh Dewan Rakyat akan melumpuhkan pentadbiran negara, yang akhirnya akan memaksa seseorang Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan,” ujarnya.
Akui beliau, cadangan mewujudkan penggal tetap Parlimen mempunyai kebaikan dari sudut kelancaran sistem pilihan raya, namun ia tidak membawa maksud penggal tetap bagi Perdana Menteri.
“Sistem penggal tetap Perdana Menteri tidak mustahil untuk dilaksanakan, namun pelaksanaannya akan mewujudkan kepincangan dalam asas amalan demokrasi berparlimen.
“Perubahan-perubahan yang dicadangkan di atas tidak boleh dibuat melalui Akta Parlimen biasa, tetapi perlu dilakukan dengan pindaan Perlembagaan yang memerlukan undi dua pertiga anggota Dewan Rakyat,” kemuka beliau. – HARAKAHDAILY 15/1/2024