Anwar sendiri arahkan siasatan ke atas musuh politiknya?

Mahu penjarakan lawan dan selamatkan kedudukan jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap paling munasabah mengarahkan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas bekas-bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan dan ketua parti pembangkang.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad bahkan tidak menolak kemungkinan tindakan itu adalah untuk menjadikan para pemimpin politik tersebut sebagai banduan dengan memenjarakan mereka.

- Advertisement -

Menurut beliau, rakyat yang tidak percayakan kebebasan mahkamah melihat Anwar sanggup menggunakan pihak berkuasa ke atas musuh-musuh politiknya bagi menyelamatkan kedudukan jawatan ketika ini.

Sebaliknya kata Tun Hamid, rakyat yang percayakan kebebasan mahkamah pula akan menyanjung Perdana Menteri itu sebagai juara antirasuah dan antipenyalahgunaan kuasa serta penyelamat negara.

Mengakui tersentak, beliau menulis pandangan tersebut sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai kertas siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut dinyatakan dalam kenyataan sama pada 8 Januari itu di mana kertas siasatan terhadap mereka telah dikemuka kepada Peguam Negara, Dato’ Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

“Pada hari yang sama saya terbaca berita SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan memanggil seorang mantan Perdana Menteri untuk merakam kenyataannya mengenai perbelanjaan sebanyak RM700 juta.

“(Iaitu) untuk mempromosi kerajaan di antara tahun 2020 hingga 2022. Pada 12 Januari 2024, kita mendapat tahu pemimpin berkenaan adalah Dato’ Sri Ismail Sabri (Yaakob),” ujarnya dalam tulisan disiarkan hari ini.

Beliau turut memetik, pada 3 Mac 2023, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Kerajaan Perikatan Nasional dan juga Presiden BERSATU telah dihadap empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan suapan RM232.5 juta. 

Walau bagaimanapun imbas Tun Abdul Hamid, pada 18 Ogos 2023, Tan Sri Muhyiddin telah berjaya dalam permohonannya di mahkamah untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa itu. 

“Walaupun pertuduhan salah guna kuasa telah dibatalkan, beliau masih berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta dan satu pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta.

“Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di bawah Kerajaan Perpaduan baru beberapa bulan sahaja dilepaskan tanpa dibebaskan daripada berpuluh-puluh pertuduhan apabila Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) tidak mahu meneruskan pendakwaan terhadapnya, sehari sebelum beliau bersara. 

“Jangan lupa bahawa mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, masih menjalani hukuman penjara dan menghadapi lain-lain pertuduhan di mahkamah. Datin Sri Rosmah Mansor, isteri Najib juga sedang menghadapi pertuduhan terhadap dirinya,” ujar beliau.

Katanya, adalah sukar untuk dipercayai bahawa Anwar tidak memain peranan untuk menghidupkan siasatan terhadap Tun Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin jika benar kejadian itu berlaku, ia sudah begitu lama.

Jelas beliau, adalah sukar mempercayai bahawa pihak Polis dan SPRM telah sekian lama tidak menyiasat kes-kes tersebut, tetapi apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, baru mula menyiasat jika tidak atas arahannya. 

“Adalah juga sukar mempercayai bahawa pihak Polis dan SPRM telah sekian lama menyiasat kes-kes itu, tetapi hanya apabila Anwar menjadi Perdana Menteri baru mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara atau menyambung siasatan itu, jika tidak atas arahannya. 

“Atau, jika siasatan telah lama dilakukan, beliau telah mengarahkan supaya ia dihidupkan semula. Orang ramai termasuk penganalisis politik terus mengatakan bahawa tindakan itu bermotifkan politik,” ujarnya.

Terangnya, pandangan ramai adalah Anwar bertindak untuk membalas dendam atau untuk mendiskreditkan musuh politiknya dan pada masa yang sama menonjolkan diri sebagai seorang pejuang anti-rasuah dan anti-penyalahgunaan kuasa.

Kata Tun Hamid, hal tersebut dilihat ramai sebagai usaha Anwar untuk melanjutkan usia politik sendiri tambahan pula dilakukan pada masa tersebarnya desas desus Perikatan Nasional sedang berusaha untuk merampas kuasa.

“Tetapi, jika benar pun Anwar mengarahkan tindakan-tindakan itu, beliau mempunyai satu hujah yang sah; walaupun beliau tahu kesalahan-kesalahan itu dilakukan, sehingga beliau menjadi Perdana Menteri.

“(Selama ini) beliau tidak berpeluang mengambil tindakan kerana beliau tiada kuasa melakukannya. Berada di dalam penjara dan sebagai pembangkang (tentulah) Polis dan SPRM tidak akan menghiraukan aduannya,” ujarnya.

Bagi beliau, jika itulah hal sebenar dan ternyata Tun Mahathir dan Tun Daim telah melakukan kesalahan jenayah kewangan yang merugikan negara, Anwar patut dipuji kerana berjaya membawa mereka ke mahkamah juga akhirnya. 

“Setakat ini kita tidak tahu hal yang sebenar. Beliau mengetahuinya. Maka, jika beliau tidak terlibat mengarahkan siasatan terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim, beliau patutlah mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau tidak mengarahkan mereka. 

“Polis dan SPRM juga patut mengesahkannya. Mereka juga perlu menjelaskan mengapa mereka menunggu hingga sekarang untuk mula menyiasat atau mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara. 

“Jika Dato’ Seri Anwar terlibat mengarah pihak Polis dan SPRM menghidupkan siasatan-siasatan tersebut dan beliau hanya berupaya berbuat demikian setelah menjadi Perdana Menteri, beliau juga patut menyatakan demikian. 

“Itulah cara sebaik-baiknya bagi beliau membersihkan namanya,” ujar Tun Hamid menekankan bahawa tidak salah di sisi undang-undang bagi Perdana Menteri mengarahkan Polis dan SPRM melakukan siasatan itu.

Jelasnya, asalkan ia bertujuan mencari keterangan untuk mengetahui sama ada orang itu telah melakukan kesalahan atau tidak dan, jika ada keterangan, mengambil tindakan yang bersesuaian terhadap orang tersebut. 

Namun tegas beliau, yang salah ialah mengada-adakan keterangan palsu untuk menuduh seseorang, hatta jika tindakan itu menguntungkan politik Anwar sekalipun tidak ada salahnya asalkan keterangan diperolehi itu benar. 

“Ini terutama sekali jika ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Saya tambah, itu adalah tanggungjawab Perdana Menteri,” sokongnya.

Tun Abdul Hamid turut menyatakan bahawa banyak pihak tertanya-tanya berkenaan siasatan ke atas Dato’ Sri Ismail Sabri di mana dilakukan pada minggu yang sama dengan semua kes dinyatakannya itu.

Hingga ia menyebabkan seorang pemerhati berkata, “Nak tangkap habis semuakah?” Hujah-hujah saya di atas yang berkenaan juga terpakai. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -