HSR: ‘Kita tidak tahu kenapa mereka menarik diri’

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

SERDANG: Menjadi kebiasaan kepada mana-mana pelabur yang ingin melabur akan memerhatikan apakah portfolio pelaburan itu menguntungkan atau tidak.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata demikian susulan syarikat Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan mereka untuk terbabit dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen Infrastruktur Komunikasi dan Pengangkutan, beliau telah menyertai sesi lawatan ke Jepun berhubung dengan projek itu.

Katanya, ketika bertemu dengan rakan-rakan di Jepun, soalan yang sama iaitu apakah mereka berminat untuk melaburkan pelaburan mereka dalam pakej HSR itu.

“Saya di antara ahli parlimen yang membangkitkan isu ini selain daripada ahli parlimen Pagoh di dalam parlimen berkaitan HSR.

“Sebab kita melihat projek ini boleh menguntungkan dan boleh meningkatkan globalisasi kesinambungan,” katanya ketika ditemui selepas program Liqa’ Fikri di sini, hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga mencadangkan supaya projek HSR itu diteruskan dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan ia disambut oleh Thailand.

“Apabila pakej itu dibuka, kawan-kawan dari Jepun mengatakan ‘ya’ dan akan melihat kebolehupayaan projek tersebut dan kemampuan kewangan mereka.

“Jadi kita tidak tahu kenapa mereka menarik diri. Setiap pelaburan yang dibuat pastinya ia akan melihat pulangan pelaburan.

Beliau berkata, mungkin pada pendapat rakan-rakan ekonomi dari Jepun melihat projek itu tidak ekonomik kepada mereka.

“Ataupun mereka ada keutamaan lain untuk melaburkan kewangan mereka.

“Namun secara langsung ia membuka seluas-luasnya pintu pelaburan ini kepada negara China.

“Sebab kita tahu kelebihan negara China berbanding negara lain adalah ia mempunyai jumlah dana yang banyak,” ujarnya.

Beliau berkata, ini kelebihan negara China dalam keadaan sosioekonomi yang merundum.

Katanya sekarang menjadi satu keuntungan kepada mereka yang ada banyak duit dan melabur kepada projek-projek khususnya projek infra yang boleh membuahkan hasil lumayan di masa akan datang.

“Saya yakin dan percaya rakan-rakan di peringkat kerajaan akan melihat perkara ini dengan teliti.

“Kita harapkan ia selari dengan apa yang telah diterapkan dalam polisi negara supaya pelaburan ini memberikan situasi menang-menang kepada Malaysia dan negara pelabur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

- Advertisement -