Biasakan anak-anak dengan program PAS

Ustaz Abdullah Husin
- Advertisement -

SERDANG: Ahli-ahli digesa agar sentiasa membiasakan anak-anak mereka dengan program PAS untuk memupuk rasa minat mereka terhadap perjuangan parti itu.

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, dengan cara itu ia dapat menyediakan anak-anak untuk menjadi penyambung perjuangan di masa akan datang.

Tambahnya, beliau sendiri secara peribadi turut menekankan perkara itu sepanjang membesarkan kelima-lima orang anaknya agar mereka sentiasa dalam perjuangan PAS.

“Memang kelima-lima itu daripada kecil sampai sekarang, alhamdulillah, mengikuti perjuangan, bersama-sama memikul perjuangan sebab kita dah biasakan dia daripada kecil lagi.

“Dan sampai mereka dewasa dah berkahwin dan sebagainya kita kena memastikan mereka mengikuti gerak kerja perjuangan, amal-amal jama’ie dan sebagainya. Dan saya juga selalu berdoa agar jangan sampai anak-anak kita jadi sebaliknya.

“Kalau anak-anak kita tak berjuang (dalam PAS) pun sudah satu kerugian. Jika mereka menentang perjuangan kita lebih-lebih lagi. Nauzubillah,” ujar beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian seusai program Liqa’ Fikri anjuran Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Pusat yang berlangsung di City Meridian Convention Centre, di sini, hari ini.

Sebelum itu di dalam program tersebut, Naib Presiden PAS yang juga pengerusi lajnah tersebut, Datuk Idris Ahmad dalam ucapannya ada menyentuh tentang pentingnya pentarbiyahan terhadap anak-anak ahli agar mereka menjadi penyambung perjuangan.

Mengulas tentang isu kegagalan sesetengah ahli PAS dapat mengasuh anak-anak mereka agar bersama dalam perjuangan parti ini, Abdullah menganggap ia sebagai satu cabaran dan ujian kepada ibu bapa terlibat.

“Ini merupakan suatu perkara yang sangat penting dan saya sendiri merasakan ia kita anggap satu cabaran, satu ujian. Dan kita mengakui barangkali banyak kelonggaran, atau pun banyak pengabaian dalam perkara ini yang dilalui oleh PAS, ibu bapa bapa sekian lama.

“Walau bagaimanapun kita tidak boleh berputus asa. Dan saranan daripada pimpinan kita tadi untuk kita memperbaiki lagi, menambahbaik, memastikan pentarbiyah dan kesinambungan perjuangan kepada anak-anak,” ujarnya.

Kerana itu, beliau menitipkan satu nasihat tentang perkara ini buat dirinya dan seluruh ahli PAS agar tidak meninggalkan anak-anak dalam soal perjuangan melalui kefahaman yang mendalam.

“Jadi yang paling penting adalah ilmu. Dan ilmu sahaja tidak cukup, kena ada praktikalnya. Jadi ini sangat penting bagi memastikan masa depan generasi penerus perjuangan kita.

“Apa sahaja yang dapat membina suatu pendirian sehingga anak kita itu dia sebati, tidak kiralah program yang berbentuk yang macam mana, perlu dipelbagaikan supaya mereka dapat sebati dengan jemaah. Maksud saya sebati dengan jemaah ini sehinggakan mereka rasa jika mereka tidak bersama dengan jemaah mereka akan rasa kekosongan,” ujarnya.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan amanat pada program itu manakala Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pula terlibat dalam sesi dialog. – HARAKAHDAILY 13/1/2024

- Advertisement -