Resolusi Bahan Api Fosil: Cukup tangani perubahan iklim?

- Advertisement -

PERSIDANGAN Negara Ahli Kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-28 (UNFCCC-COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang bersidang sebulan lalu telah berjaya mencapai satu resolusi yang dikenali sebagai ‘The UAE Consensus’

- Advertisement -

Resolusi ini dijangka akan menjadi kesinambungan penting ke arah usaha global mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan sasaran menghadkan kadar kenaikan suhu, 1.5 darjah Celsius menjelang 2030. 

Buat julung-julung kalinya juga, persidangan COP melakar sejarah apabila semua negara ahli bersetuju untuk melaksanakan peralihan sistem tenaga ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. 

Hasrat ini terkandung di bawah agenda ‘The First Global Stocktake’ yang menilai kemajuan dan jurang pelaksanaan Perjanjian Paris.

Di bawah keputusan ini, usaha peralihan sistem tenaga akan dilaksana secara adil dan saksama berpandukan prinsip ekuiti, tanggungjawab bersama dengan beban berbeza mengikut keupayaan tersendiri (CBDR-RC) seperti yang termaktub di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris. 

Keputusan ini menuntut tanggungjawab kolektif dalam melaksanakan tindakan iklim yang lebih praktikal dengan mengambil kira tahap pembangunan sosio ekonomi dan kemajuan berbeza setiap negara ahli. 

Selain itu, persidangan turut berjaya mencapai satu keputusan penting berhubung penubuhan Dana Kerugian dan Kerosakan bagi menangani, mengurangkan dan meminimakan kerugian dan kerosakan akibat impak perubahan iklim.

Pengoperasian dana ini akan dirunding oleh negara-negara ahli pada persidangan akan datang dengan mengambil kira impak perubahan iklim yang berbeza terhadap negara-negara dan komuniti rentan di seluruh dunia, selaras dengan konsep keadilan iklim.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Malaysia menyambut baik pakej resolusi ini sebagai satu titik bersejarah. Lebih penting, ia menunjukkan komitmen global untuk menangani isu perubahan iklim. 

Semasa berucap dalam persidangan COP28 lalu, Nik Nazmi turut menyatakan bahawa semua negara harus menyumbang ke arah menangani perubahan iklim berdasarkan prinsip CBDR-RC.

Malaysia berjanji mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Selain itu, Malaysia juga berhasrat untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) yang dijangka dimuktamadkan, awal tahun ini. 

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), Malaysia merancang untuk menyahkarbon sektor tenaga dan industri dalam negara dengan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti terpasang tenaga dari 25 peratus kepada 70 peratus pada 2050.

Berhubung resolusi Dana Kerugian dan Kerosakan UNFCCC, Nik Nazmi memaklumkan, Malaysia mengalu-alukan penubuhan dana ini serta sumbangan yang dijanjikan oleh negara-negara maju untuk memberi pampasan kepada negara yang terdedah kepada kesan perubahan iklim. 

Namun, Malaysia menggesa agar ketelusan dalam tadbir urus dan mobilisasi dana ini serta komitmen serius daripada negara-negara maju dalam menyalurkan dana kewangan bagi membolehkan negara membangun mampu menangani isu kerugian dan kerosakan dengan lebih berkesan. 

Resolusi Bahan Api Fosil

Sidang COP28 juga menyaksikan pertelingkahan dalam kalangan negara-negara ahli berhubung impak pasca resolusi penggunaan bahan api fosil. Ia berikutan negara-negara utama pengeluar minyak tidak bersetuju dengan frasa ‘menghentikan secara berperingkat’ kebergantungan bahan api fosil ke dalam draf perjanjian COP28.

Pada masa yang sama, lebih 130 negara, saintis dan pertubuhan masyarakat sivil telah menggesa agar dilaksana sama ada ‘penghentian secara beransur-ansur’ atau ‘pengurangan beransur-ansur’ penggunaan bahan api fosil, namun resolusi akhir yang dicapai adalah untuk tidak memasukkan sebarang sebutan atau frasa mengenainya.

Sebaliknya, hanya menyatakan secara ringkas iaitu ‘Pengurangan yang Adil, Teratur dan Saksama’.

Resolusi tersebut mendapat persetujuan oleh hampir 200 negara ahli yang menyokong, namun banyak negara yang meluahkan rasa kecewa kerana ia dilihat tidak cukup untuk menangani isu perubahan iklim yang ketika ini pada tahap kritikal.

Tambahan lagi, resolusi itu tidak dinyatakan bersekali dengan pelan lebih jelas, malah komitmen serius dalam kalangan negara-negara pengeluar minyak termasuk negara-negara maju dan membangun. 

Ia seolah-olah masih meneruskan polisi ‘business as usual’ yang membolehkan negara-negara berdagang hasil minyak masing-masing mengikut apa yang diinginkan tanpa memikirkan kesan besarnya terhadap perubahan iklim. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dalam ucapannya semasa persidangan COP28 juga tegas berpendirian bahawa, dunia tidak mungkin akan mencapai sasaran menghadkan kadar kenaikan suhu 1.5 darjah Celsius tanpa mengambil langkah drastik untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat dalam tempoh yang jelas.

Terdahulu, Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE, Mariam Almheiri, menerusi sesi temu bual bersama Reuters memberitahu, tindakan menghapuskan bahan api fosil secara berperingkat akan merugikan negara yang bergantung kepada sumber itu bagi memperoleh pendapatan atau tidak dapat menggantikannya dengan sumber boleh diperbaharui dengan mudah.

Tambah beliau, usaha menghapuskan pelepasan bahan api fosil secara berperingkat boleh dilakukan menggunakan teknologi ‘takungan dan simpanan’ di samping, meningkatkan tenaga boleh diperbaharui.

Presiden COP28, Sultan Al Jaber, dalam ucapan penutup persidangan COP28 berkata, walaupun tiada keputusan drastik berjaya dicapai, namun keputusan yang kecil itu tetap dianggap sebagai kejayaan kerana ini adalah julung-julung kali isu bahan api fosil dibicarakan secara serius dan dimasukkan dalam draf resolusi sepanjang sejarah 28 tahun sidang kemuncak berkaitan iklim itu diadakan.

Intihanya, resolusi bahan api fosil yang dicapai dalam persidangan COP28 lalu bolehlah dianggap sebagai ‘permulaan kepada pengakhiran bahan api fosil’ atau fasa peralihan dalam sistem tenaga.

Namun, kenyataan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) yang menjangkakan suhu dunia akan melepasi had ditetapkan iaitu paling panas dalam tempoh lima tahun akan datang perlu diambil serius. 

Justeru, kegagalan dunia mencapai resolusi yang tuntas dan segera mengenai penggunaan bahan api fosil ini dilihat akan menjejaskan usaha mencapai dunia mengurangkan impak perubahan iklim.

MOHD HAFIZUDIN MOHD YAHAYA
Yayasan Strategik Lestari (YSL) – HARAKAHDAILY 12/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -